SHAH ALAM - Kementerian Luar (Wisma Putra) mengadakan pertemuan bersama waris bagi membincangkan proses perundangan dan pentadbiran yang mungkin terpakai kepada keluarga rakyat Malaysia yang terkesan susulan kejadian banjir dan tanah runtuh di Nepal.
Pertemuan di Wisma Putra pada Ahad itu melibatkan 95 waris terdekat dan wakil keluarga yang mewakili 55 rakyat Malaysia yang masih dilaporkan belum dapat dihubungi selepas bencana alam berkenaan.
Wisma Putra berkata, kerajaan Nepal telah memaklumkan bahawa ia sedang mempertimbangkan langkah-langkah perundangan bagi menangani kes melibatkan individu yang terjejas akibat bencana tersebut dan statusnya masih belum dapat ditentukan, termasuk warga asing.
"Langkah-langkah tersebut masih tertakluk kepada proses perundangan domestik Nepal dan setakat tarikh kenyataan ini, belum berkuat kuasa.
"Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Nepal bagi mendapatkan penjelasan mengenai proses dan dokumentasi yang berkenaan sekiranya langkah tersebut dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Wisma Putra, sesi berkenaan turut bertujuan memaklumkan waris mengenai perkembangan terkini yang telah disahkan, selain memberi ruang kepada mereka mengemukakan pertanyaan secara langsung kepada kementerian dan agensi yang terbabit dalam usaha kerajaan.
Taklimat itu melibatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kimia Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan setiap agensi memberikan penjelasan mengenai perkara di bawah bidang tanggungjawab masing-masing.
Kaunselor daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut hadir bagi memberikan sokongan kepada ahli keluarga sepanjang sesi tersebut.
Wisma Putra memaklumkan, kerajaan Malaysia akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Nepal serta menyelaras tindakan dengan agensi Malaysia berhubung proses-proses yang berkaitan.
“Sebarang penentuan mengenai status seseorang individu serta pengeluaran sebarang dokumentasi rasmi adalah tertakluk kepada undang-undang dan prosedur yang terpakai serta pihak berkuasa yang berkenaan di Nepal dan Malaysia,” katanya.