Tiada kelibat Azeem dalam acara 4x100m Sukan Asia

Iklan
Azeem mengalami kekejangan otot ketika saingan akhir acara 100m Sukan Asia di Nagoya Jumaat lalu. - FOTO: Bernama.

PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi tidak disenaraikan dalam kuartet 4x100 meter (m) lelaki yang memulakan saingan pusingan pertama Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Stadium Nagoya City Mizuho Park Athletic, malam ini.

Tempat pelari berusia 22 tahun itu diisi Mohamad Armin Zahryl Abd Latif berdasarkan senarai yang dikongsikan Olahraga Malaysia (MA) menerusi Facebook petang ini.

Iklan
Iklan

Azeem masih belum dipastikan tahap kecergasannya selepas mengalami kecederaan ketika beraksi dalam final 100m lelaki, kelmarin.

Armin akan bergandingan dengan Pengiran Aidil Auf Hajam, Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan Muhammad Umaira Subri dalam usaha Malaysia melangkah ke final.

Iklan

Malaysia diundi dalam saringan pertama bersama Arab Saudi, Taiwan, Maldives, China, Sri Lanka dan Bahrain.

Tiga kuartet terpantas setiap saringan akan mara ke final dengan dua lagi slot diberikan kepada pasukan yang mencatat masa terbaik selepas itu.

Iklan

Selain memburu tiket ke final, kuartet negara turut berpeluang memperbaiki rekod kebangsaan 39.03 saat yang dilakukan Jonathan Nyepa, Danish, Pengiran Aidil dan Aliff Iman Mohd Fahmi pada Sukan SEA Thailand 2025.

Dalam saingan wanita, kuartet negara yang dibarisi Nur Aishah Rofina Aling, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, Fatin Ilyana Mat Nayan dan Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka turut turun beraksi malam ini.

Mereka akan bersaing dalam saringan pertama bersama Thailand, China, Singapura dan Vietnam.