JUARA Big Stage, Jamak Hussain Jamilul Hayat atau lebih dikenali sebagai Hussain terbuka untuk meneroka bidang lakonan sekiranya diberi peluang membawakan watak dalam adaptasi novel ke filem atau drama.
Hussain, 23, berkata, beliau bersedia mencuba pelbagai karakter termasuk watak seorang anak atau pelajar kolej, selain mahu mencabar diri menerusi watak yang berbeza daripada personalitinya.
“Saya tak kisah cerita itu daripada genre apa, sama ada drama, romantik ataupun cerita yang lebih serius.
“Saya sebenarnya lebih suka kalau diberi peluang untuk cuba sesuatu yang berbeza daripada karakter saya sendiri sebab dari situ saya boleh belajar dan cabar diri dalam bidang lakonan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurut penyanyi kelahiran Ipoh, Perak itu bidang nyanyian akan terus menjadi fokusnya, namun dia tidak menolak sekiranya menerima tawaran berlakon yang memberinya peluang menimba pengalaman baharu.
“Saya terima sahaja kalau ada rezeki saya untuk berlakon sebab saya boleh dapat ilmu baharu dalam umur yang muda ini. Lakonan ini bonuslah,” katanya.
Hussain berkata demikian ketika ditemui pada Festival Novel Malaysia 2026 anjuran Karangkraf, yang turut memberi peluang kepadanya merasai sendiri kemeriahan festival berkenaan buat kali pertama.
Menurut Hussain, dia teruja dapat melihat pelbagai jenis novel dan barangan yang ditawarkan selain berpeluang bertemu peminat yang hadir.
“Saya memang sangat teruja. Saya seronok dapat melihat sendiri suasana festival dan bertemu dengan peminat-peminat yang hadir.
“Staf Karangkraf pun sangat baik dan menyambut kami dengan sangat mesra. Saya sempat berjalan-jalan melihat karnival, singgah ke beberapa booth, tengok pelbagai jenis novel dan barangan yang dijual,” katanya.
Dalam pada itu, Hussain mengakui dirinya turut mempunyai minat terhadap bahan bacaan, terutama buku berkaitan agama yang menceritakan kisah Nabi dan Rasul.
“Saya memang suka membaca buku. Saya lebih tertarik kepada buku-buku agama, terutamanya yang berkaitan dengan kisah Nabi dan Rasul kerana banyak pengajaran yang boleh kita ambil.
“Selain itu, sekali-sekala saya juga membaca genre romantik. Bergantung kepada situasi juga, kadang-kadang nak membaca sesuatu yang lebih santai,” katanya.
Selain terus memberi tumpuan kepada bidang nyanyian, Hussain berkata, kemenangan sebagai juara Big Stage turut membuka ruang kepadanya untuk mengejar impian menghasilkan karya sendiri.
Jelasnya, hasrat menghasilkan lagu sendiri sudah wujud sejak kecil dan kini dia mahu mempelajari kemahiran berkaitan penghasilan lagu dengan lebih serius.
“Saya memang dari kecil lagi nak buat lagu sendiri. Memang nak jadi komposer lagu, jadi saya kena belajar,” katanya.
Mengulas perubahan kehidupan selepas bergelar juara Big Stage, Hussain berkata, jadualnya kini lebih padat dengan pelbagai acara dan undangan sehingga masa lapang semakin berkurangan.
“Dulu saya banyak masa lapang, tetapi sekarang jadual saya sedikit ketat. Banyak acara yang saya perlu hadir, jadi kurang rehat dan agak keletihan. Bukan senang nak senang,” katanya.