PELUMBA sensasi, Matteo Malucelli membuktikan kemalangan ketika latihan semalam tidak menjejaskan prestasinya apabila pelumba XDS Astana Team itu muncul juara Peringkat 1 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 sebentar tadi.
Pelumba Itali berusia 32 tahun itu menamatkan laluan sejauh 193 kilometer (km) dari Shah Alam ke Kampar dengan masa 4 jam 6 minit 26 saat (4:06:26), selepas mengatasi Riley Pickrell dari Modern Adventure Pro Cycling dan Fernando Gaviria (Caja Rural-Seguros RGA) dalam penamat pecut beramai-ramai.
Pickrell dan Gaviria masing-masing mencatat masa sama untuk melengkapkan podium peringkat pembukaan perlumbaan berstatus ProSeries itu.
Kemenangan tersebut turut membolehkan Malucelli menyarung jersi jingga selaku pendahulu klasifikasi keseluruhan (GC), selain menguasai jersi biru Raja Pecut dengan 15 mata, meninggalkan Pickrell (12) dan Gaviria (9).
Lebih menarik, kejayaan itu hadir kurang 24 jam selepas Malucelli terjatuh ketika latihan apabila tergelincir di selekoh sebelum tangannya terhentak kuat.
Pemeriksaan X-ray yang dijalaninya selepas insiden itu bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang keretakan serius, sekali gus membolehkannya meneruskan perlumbaan.
"Saya tidak tahu sama ada saya menang. Saya rasa ya, tetapi saya mahu melihat foto penamat kerana tahun lalu juga kami mendapat kejutan.
"Semalam (Sabtu) saya kemalangan, jadi kalau saya menang peringkat pertama, ia satu tindak balas yang baik daripada badan saya," katanya.
Kejayaan di Kampar itu turut meneruskan prestasi cemerlang Malucelli yang sebelum ini memenangi Tour of Taihu Lake di China, 11 hari lalu, sekali gus menjadi kemenangan ke-23 dalam kariernya.
Menurut Malucelli, kejayaan tersebut turut dibantu kerja keras rakan sepasukan yang mengawal perlumbaan sebelum Gleb Syritsa melakukan pecutan terakhir untuk membantunya.
"Pasukan melakukan kerja yang sangat baik sejak awal. Kami mengawal perlumbaan dan Gleb melakukan 'lead-out' yang hebat, begitu juga Aaron (Gate) dan Gonov.
"Apabila ada banyak selekoh, ia memang sentiasa sukar, tetapi saya melakukan yang terbaik," katanya.
Sementara itu, Pet Rikunov dari China Development Team menguasai klasifikasi Raja Bukit selepas mengumpul empat mata, manakala pelumba Terengganu Cycling Team Kee Zhe Yie meraih dua mata dan Muhammad Syawal Mazlin (Malaysia Pro Cycling) satu mata.
Muhammad Nur Aiman Rosli muncul pelumba Asia terbaik selepas menamatkan perlumbaan dalam masa 4:06:53, diikuti Oda Hijiri dari ART dan Muhammad Izzat Hilmi Abdul Halil (Malaysia Pro Cycling).
Peringkat 2 LTdL esok menyaksikan peloton menempuh laluan sejauh 145.6km dari Taiping ke Gunung Jerai.