Danish ulangi jejak Rabuan Pit layak ke final 200m selepas 44 tahun

Iklan
Danish (kiri) melakukan catatan 20.76s dalam saingan separuh akhir saringan pertama 200m untuk menempah slot final di Stadium Nagoya City Mizuho Park Athletic. Foto: Bernama.

SELEPAS 44 tahun, Malaysia kembali memiliki wakil dalam final 200 meter (m) lelaki Sukan Asia apabila pelari muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee melakar kejayaan bersejarah di Aichi-Nagoya 2026 pada Sabtu.

Danish, 19, menamatkan saingan separuh akhir saringan pertama di tempat keempat dengan catatan 20.76 saat (s) di Stadium Nagoya City Mizuho Park Athletic.

Iklan
Iklan

Catatan itu sudah cukup untuk membawa Danish ke final menerusi dua catatan terpantas berikutnya, sekali gus menempatkannya dalam kelompok lapan pelari terbaik Asia.

Kejayaan itu menyaksikan Danish bakal membuat penampilan di final Sukan Asia buat kali pertama, dengan aksi penentuan dijadualkan berlangsung esok.

Iklan

Lebih manis, pelari muda itu mengakhiri penantian Malaysia selama 44 tahun untuk memiliki wakil dalam final 200m lelaki selepas Datuk Rabuan Pit beraksi pada edisi New Delhi 1982.

Rabuan bukan sekadar melangkah ke final, malah menghadiahkan pingat gangsa buat negara pada edisi berkenaan.

Iklan

Dalam separuh akhir hari ini, saringan Danish dimenangi pelari Jepun, Soshi Mizukubo dengan catatan 20.37s, diikuti Wu Yen Ming Ke dari Taiwan (20.71s) dan Yip King Wai dari Hong Kong (20.74s).

Danish berkata, penampilan sulungnya di Sukan Asia bersama skuad senior memberikan pengalaman baharu yang cukup positif buat dirinya.

"Alhamdulillah, ia satu perkara yang baik dan positif untuk saya. Ini adalah penampilan sulung saya dalam Sukan Asia bersama pasukan senior dan ia pengalaman baharu serta pencapaian besar untuk saya," katanya.

Reaksi Danish (kanan) selepas beraksi dalam saingan separuh akhir saringan pertama 200m Nagoya pada Sabtu. Foto: Bernama.

Tempat ke final itu juga membuka ruang buat Danish mengukur kemampuan apabila bakal berdepan kelompok pelari terbaik Asia dalam aksi penentuan esok.

Seorang lagi wakil negara, Muhammad Haziq Mohamad Akhir gagal mengikut jejak langkah Danish apabila terkandas di separuh akhir selepas menamatkan saringan ketiga di tempat kelapan dengan catatan 21.50s.

Saringan itu menyaksikan juara 100m lelaki, Puripol Boonson dari Thailand mencipta rekod baharu Sukan Asia dengan catatan 20.10s, mengatasi rekod lama 20.14s milik Femi Ogunde dari Qatar yang dilakukan pada edisi Incheon 2014.