Dron meletup di pos sendiri, dua askar Israel maut

Iklan
Nadav Kali (kiri) dan Ofek Moalem. Foto Agensi

GAZA - Dua anggota simpanan tentera Israel maut selepas sebuah dron tentera terhempas dan kemudian meletup di sebuah pos tentera di utara Gaza, menurut tentera Israel pada Jumaat.

Kedua-dua anggota terbabit dikenal pasti sebagai Nadav Kali, 24, dan Ofek Moalem, 23.

Iklan
Iklan

Mereka dilaporkan cedera parah dalam letupan tersebut sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Barzilai di Ashkelon, namun kemudian disahkan meninggal dunia.

Menurut siasatan awal tentera Israel, kedua-dua anggota berkenaan sedang mengendalikan dron dalam satu operasi di utara Gaza ketika kejadian.

Iklan

Dron pertama dilaporkan berjaya menyelesaikan operasinya tanpa sebarang masalah.

Bagaimanapun, dron kedua terhempas di dalam kedudukan tentera mereka sendiri.

Iklan

Peranti itu kemudian meletup selepas anggota tentera menghampirinya, menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah.

Tentera Israel kini menyiasat punca dron berkenaan terhempas serta sebab ia meletup selepas jatuh.

Antara kemungkinan yang turut diperiksa ialah sama ada berlaku gangguan elektronik terhadap dron tersebut.

Bagaimanapun, tentera Israel dilaporkan pada masa ini percaya Hamas tidak mempunyai keupayaan untuk mengganggu dron jenis berkenaan.

Jenis sebenar dron terbabit juga belum didedahkan secara rasmi, termasuk sama ada ia merupakan dron letupan atau direka untuk membawa dan melepaskan peluru.

Susulan kejadian itu, tentera Israel menggantung sementara penggunaan dron jenis terbabit sementara siasatan diteruskan.

Menurut angka tentera Israel yang dipetik laporan tersebut, 80 daripada 472 anggota tenteranya yang terbunuh sepanjang operasi darat di Gaza maut akibat kemalangan dan insiden tembakan sesama sendiri. - Agensi