Objek misteri bercahaya muncul di langit Teheran

Iklan
Imej objek misteri yang berjaya dirakam oleh satu individu di Teheran.

TEHERAN - Kemunculan objek bercahaya dengan pelbagai warna di langit Teheran, Iran, mencetuskan tanda tanya selepas rakamannya tersebar di media sosial sejak 20 September lalu.

Rakaman itu menunjukkan objek dengan cahaya berwarna-warni kelihatan terapung atau bergerak perlahan di ruang udara berhampiran Lebuh Raya Azadegan, pada kira-kira jam 7.30 malam waktu tempatan.

Iklan
Iklan

Menurut laporan Reuters, objek berkenaan kelihatan seperti rangkaian cahaya melengkung yang bertukar antara warna biru, putih, ungu, hijau dan merah ketika berada berhampiran awan.

Bagaimanapun, saiz, ketinggian, jarak dan kelajuan objek itu tidak dapat disahkan berdasarkan rakaman berkenaan.

Iklan

Pihak berkuasa Iran juga belum mengenal pasti objek yang dirakam itu atau mengesahkan sifatnya.

Keadaan itu mencetuskan pelbagai spekulasi dalam media sosial, termasuk kemungkinan objek berkenaan adalah dron, layang-layang yang dipasang lampu LED, belon atau pesawat.

Iklan

Ada juga pengguna media sosial mengaitkannya dengan objek terbang tidak dikenal pasti (UFO), namun tiada bukti rasmi yang mengesahkan dakwaan berkenaan.

Reuters melaporkan individu yang merakam video berkenaan, Ali Sedaghati menyifatkan objek itu tidak mengeluarkan bunyi dan kelihatan berhampiran awan.

Sedaghati turut berkata, beliau meninggalkan lokasi dan kembali kira-kira 10 minit kemudian, namun objek itu sudah tidak kelihatan.

Rakaman berkenaan kemudian mendapat perhatian meluas di media sosial, sekali gus mencetuskan pelbagai teori mengenai identiti objek terbabit.

Bagaimanapun, sehingga laporan ini ditulis, tiada pengesahan rasmi bahawa objek berkenaan adalah dron, pesawat, peralatan ketenteraan atau objek dari luar bumi.

Kemunculan rakaman itu turut mengingatkan orang ramai kepada insiden objek bercahaya yang dilaporkan di Teheran pada September 1976.

Bagaimanapun, laporan media menegaskan kejadian terbaharu itu tidak mempunyai kaitan yang disahkan dengan insiden 1976 berkenaan.