Wanita kental emosi, spiritual benteng keluarga

Iklan
Yadim dan badan bukan kerajaan memegang risalah sebagai menyokong usaha memperkukuh wanita melalui al-Quran.

KOTA BHARU - Wanita perlu membina kekuatan emosi dan spiritual bagi berdepan cabaran keluarga serta pendidikan anak yang semakin kompleks melalui penghayatan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.

Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan, Yusnita Muhamed Yusoff berkata, wanita khususnya ibu dan isteri menjadi ‘jantung’ keluarga sehingga kestabilan emosi mereka turut mempengaruhi keharmonian rumah tangga.

Iklan
Iklan

“Tekanan berdepan perubahan semasa, mendidik anak dan mengurus keluarga memerlukan kekuatan dalaman supaya wanita mampu memainkan peranan dengan baik.

“Kalau emosi terganggu bagaimana seorang ibu nak melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah serta keharmonian dalam rumah tangga,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas jelajah kempen Sidang Kemuncak Wanita Kelantan & Wanita Kelantan #QuranHour bertemakan Wanita Kental - Seruan Global Wanita Sebagai Tonggak Kekuatan Emosi Ummah yang akan berlangsung di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini pada 10 Oktober ini.

Yusnita

Yusnita berkata, penghayatan al-Quran perlu melangkaui aktiviti membaca semata-mata sebaliknya diterjemahkan dalam kehidupan, termasuk membina adab dalam keluarga, hubungan suami isteri dan pendidikan anak.

Iklan

“Al-Quran bukan sekadar untuk kita kenal dan baca, tetapi perlu diimplementasikan dalam kehidupan seharian sebagai rujukan dan sumber yang sahih,” katanya.

Selari dengan konsep Selimut Khadijah yang diketengahkan dengan mengambil inspirasi daripada Saidatina Khadijah Khuwailid sebagai sosok yang memberikan ketenangan, sokongan dan kekuatan kepada Rasulullah SAW.

Konsep berkenaan mengangkat wanita sebagai ‘selimut’ fizikal dan spiritual kepada keluarga serta ummah melalui empati, pengukuhan jiwa dan tindakan yang memberi manfaat.

Pengisian kempen turut berteraskan Surah al-Nisa’ dan Surah al-Muzzammil menerusi penekanan terhadap solat, tahajud, bacaan al-Quran, infak dan sedekah serta pengukuhan tauhid.