KUALA LUMPUR – Tanggapan bahawa seseorang perlu kaya sebelum boleh berwakaf perlu diubah kerana amalan itu boleh dimulakan mengikut kemampuan, termasuk oleh golongan muda.
Perkembangan wakaf tunai dan platform digital turut memudahkan orang ramai menyumbang tanpa perlu memiliki tanah atau harta yang besar.
Kakitangan swasta, Muhammad Aniq Aiman Sajid, 21, berkata, anak muda tidak seharusnya menunggu sehingga kedudukan kewangan mereka kukuh untuk mula berwakaf.
“Bagi saya, kita tidak perlu tunggu sehingga kaya untuk mula berwakaf.
"Kalau kita mampu asingkan sebahagian pendapatan untuk makan, hiburan atau perkara yang kita minat, kita juga sebenarnya boleh asingkan sedikit untuk melakukan kebaikan,” katanya.
Menurut Aniq, sumbangan RM5 atau RM10 mungkin kelihatan kecil, namun boleh memberi manfaat lebih besar apabila dilakukan secara konsisten oleh ramai orang.
Katanya, Wakaf MARA MADANI (WMM) boleh mendekatkan amalan itu kepada golongan muda sekiranya cara menyumbang dan manfaatnya diterangkan dengan mudah.
Pandangan sama dikongsi graduan Pemasaran Digital Universiti Teknologi MARA (UiTM), Soffea Fahira Abdullah, 22, yang mahu pendekatan wakaf berkembang seiring gaya hidup generasi muda.
Katanya, anak muda sudah biasa mengurus pembayaran dan simpanan melalui telefon pintar, sekali gus menjadikan platform digital saluran yang sesuai untuk memperkenalkan wakaf.
“Generasi muda sebenarnya mahu menyumbang dan membantu, tetapi kami juga mahu tahu bagaimana sumbangan itu digunakan dan apakah impak yang dapat dihasilkan,” katanya.
Soffea berkata, penerangan melalui media sosial juga boleh membantu mengubah tanggapan bahawa wakaf hanya berkaitan tanah, masjid atau bangunan.
“Kadang-kadang bukan kerana anak muda tidak mahu memberi, tetapi mungkin kita tidak tahu bagaimana hendak bermula,” katanya sambil berharap proses berwakaf dipermudah dan manfaat sumbangan dijelaskan kepada penyumbang.
Dalam Islam, wakaf berkait rapat dengan sedekah jariah yang manfaatnya berterusan.
Mulakan amalan memberi mengikut kemampuan, walaupun dengan jumlah yang kecil.