DOF terus pantau penjualan, pemilikan spesies ikan larangan

Iklan
Ikan kedua dipercayai dari spesies Red-bellied Piranha yang didakwa ditemui seorang pemancing di Sungai Klau, Raub baru-baru ini. Foto: FB JEJAK AIR TAWAR

KUALA LUMPUR - Penjualan dan pemilikan spesies ikan larangan di premis akuarium serta platform dalam talian akan terus dipantau susulan penularan penjualan ikan piranha sebagai ikan hiasan di media sosial.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan spesies ikan larangan tidak dijual, dipelihara, dipindahkan secara tidak sah atau dilepaskan ke perairan umum.

Iklan
Iklan

"Setakat ini tiada spesies piranha dikesan atau dirampas.

"Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) akan meneruskan pemeriksaan di premis akuarium, kedai ikan hiasan dan premis berkaitan, selain memantau penjualan spesies ikan larangan melalui platform dalam talian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan tular penjualan ikan piranha secara terbuka susulan penemuan spesies ikan larangan itu di Empangan Klau, Raub, baru-baru ini.

Perkongsian itu secara langsung mengakibatkan kebimbangan orang ramai berkaitan kemungkinan ikan larangan berkenaan dilepaskan ke perairan tempatan yang berpotensi menjejaskan ekosistem akuatik dan populasi ikan asli.

Iklan

Adnan berkata, langkah itu penting bagi memastikan pemilik dan penjual ikan hiasan mengetahui spesies yang dilarang serta mematuhi peraturan ditetapkan.

"Orang ramai, khususnya peminat dan pembiak ikan hiasan dinasihatkan tidak membeli, menyimpan atau melepaskan spesies ikan larangan ke perairan umum.

"Sekiranya terdapat ikan yang disyaki spesies asing atau spesies larangan, laporkan kepada Pejabat Perikanan berhampiran untuk pemeriksaan dan pengenalpastian lanjut," katanya.

Tegasnya, DOF akan terus memperkukuh pemantauan, penguatkuasaan dan program kesedaran awam bagi mengurangkan risiko kemasukan, pemilikan, pembiakan serta pelepasan spesies ikan larangan.

Ujarnya, tindakan itu bagi mengurangkan risiko terhadap ekosistem dan populasi ikan asli.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan, pemilikan atau pelepasan spesies ikan larangan boleh menyalurkannya kepada Pejabat Perikanan Negeri berhampiran atau melalui saluran rasmi DOF," katanya.