KUALA LUMPUR - Semua pihak diminta untuk menghormati serta merujuk Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, dalam usaha mencari penyelesaian terhadap kemelut pentadbiran yang berlaku di negeri berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ini kerana sebagai sebuah negeri yang mengamalkan sistem unik Adat Perpatih, UUTKNS telah dijadikan panduan dalam pentadbiran negeri itu sejak sekian lama.
"Negeri Sembilan agak unik berbanding negeri-negeri lain. Saya tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak, siapa yang betul atau siapa yang salah, tetapi bagi saya sebarang keputusan atau apa-apa sahaja perlu merujuk kembali kepada undang-undang utama, iaitu undang-undang tubuh.
"Dalam Perlembagaan Persekutuan, (ada senarai) apa yang boleh dan tak boleh buat antara negeri dengan pusat. Ia dua benda berlainan. Jadi kita kena menghormati undang-undang negeri itu juga Perlembagaan Pesekutuan, jadi biarlah orang Negeri Sembilan sendiri yang cari penyelesaian, ini pendapat peribadi saya,” katanya.
Azalina berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Literasi Akta Antibuli 2026 (Akta 876) dan peranan Tribunal Bagi Antibuli (TAB) di Maktab Tentera Diraja di sini hari ini.
Azalina berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan sepuluh bekas presiden Majlis Peguam, yang menggesa kerajaan Persekutuan campur tangan dan menyelesaikan kemelut perlembagaan berhubung kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Sepuluh peguam berkenaan ialah Datuk Mah Weng Kwai, Datuk Kuthubul Zaman Bukhari, Datuk Yeo Yang Poh, Datuk Ambiga Sreenevasan, Ragunath Kesavan, Datuk Lim Chee Wee, Christopher Leong, Datuk George Varughese, Salim Bashir dan Karen Cheah Yee Lynn.
Kesemua mereka menyifatkan perkembangan terbaharu membabitkan Tuanku Muhriz, termasuk beberapa tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang disifatkan tidak melalui proses sepatutnya di bawah UUTKNS, menimbulkan kebimbangan serius terhadap sistem raja berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang.- Bernama