KENAIKAN harga barang yang dialami di seluruh dunia kini turut melanda negara kita. Rakyat berdepan dengan isu harga barang yang semakin mahal, kos pengangkutan yang semakin meningkat dan beban perbelanjaan harian yang tidak terkawal.
Kesan kenaikan harga barang ini amat dirasai oleh pengguna terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah.
Situasi ini tidak hanya memberi kesan kepada ekonomi isi rumah, bahkan turut mempengaruhi gelagat dan psikologi pengguna. Mereka sekarang ini merasa khuatir terhadap kewangan mereka kerana pendapatan yang diterima tidak lagi mampu menampung kos kehidupan seharian mereka.
Sebab-sebab utama kenaikan harga barang adalah seperti inflasi, peningkatan kos pengeluaran, kenaikan harga bahan mentah, ketidaktentuan ekonomi global,kenaikan harga minyak dan kos logistik. Ianya secara tidak langsung memaksa peniaga untuk menaikkan harga bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat.
Kesan ke atas psikologi pengguna
Psikologi pengguna merupakan kajian tentang bagaimana emosi, sikap, persepsi dan pemikiran mempengaruhi keputusan seseorang pengguna ketika membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan.
Ekoran kenaikan harga barang ini, pengguna mula menukar corak perbelanjaan mereka di mana jika dahulu mereka membeli mengikut kehendak dan gaya hidup, kini kebanyakan pengguna lebih berhati-hati dalam berbelanja dengan mengutamakan keperluan asas seperti makanan, bil utiliti dan pengangkutan berbanding hiburan atau barangan mewah.
Keadaan ini memperlihatkan bahawa kenaikan harga barang memberi impak penting terhadap psikologi pengguna di mana mereka menjadi lebih sensitif terhadap harga dan sering membandingkan harga sebelum membuat sesuatu pembelian. Sesetengahnya memilih produk yang lebih murah harganya atau menunggu jualan murah atau promosi.
Di samping itu juga, pengguna mulai gemar membeli secara dalam talian kerana dapat membuat perbandingan harga dengan lebih cepat. Perniagaan e-dagang dan media sosial menjadi tumpuan kerana ianya menawarkan pelbagai promosi menarik serta pos percuma. Ini secara tidak langsung mengakibatkan persaingan sengit dalam dunia perniagaan.
Pengguna juga mula membuat pembelian panik di mana keadaan ekonomi yang tidak menentu telah menyebabkan sesetengah pengguna menjadi panik dan membeli barangan secara berlebihan kerana takut harga akan terus meningkat atau kehabisan bekalan, sebagai contoh bagi barangan asas seperti minyak masak, gula, telur, tepung dan sebagainya.
Keadaan ini telah mengakibatkan kekurangan bekalan barangan sementara di pasaran. Shrinflation menjadi semakin parah di mana saiz atau kuantiti produk dikecilkan walaupun harga masih kekal.
Sebagai contoh, sebiji roti canai kosong atau karipap dijual pada harga yang sama namun saiznya menjadi semakin kecil berbanding sebelumnya. Keadaan ini mengakibatkan pengguna menerima nilai yang lebih rendah.
Impak kenaikan harga barang juga turut memberi tekanan emosi kepada masyarakat di mana ramai yang menjadi tertekan dan bimbang kerana perlu menguruskan perbelanjaan yang semakin naik. Mereka yang terdiri daripada B40 dan M40 menjadi sasaran utama kerana kebanyakan pendapatan digunakan bagi keperluan asas.
Sesetengah rakyat terpaksa melakukan dua pekerjaan atau lebih disebabkan oleh tekanan kewangan yang dihadapi. Sebahagian lagi terpaksa menangguhkan pembelian rumah atau kereta, menghadkan perbelanjaan makanan dan lebih teruk lagi terpaksa mengeluarkan simpanan kecemasan bagi meneruskan hidup.
Kenaikan kos hidup ini turut memberi kesan buruk kepada golongan muda kerana mereka sukar untuk mendapat kestabilan kewangan disebabkan oleh sewa rumah yang mahal, harga rumah yang meningkat, dan gaji permulaan yang rendah.
Keadaan ini secara tidak langsung telah mengakibatkan ramai menangguhkan perkahwinan, pembelian rumah pertama dan juga perancangan masa hadapan.
Pakar ekonomi mengulas yang tekanan kos hidup yang berterusan ini boleh mengakibatkan gangguan mental dan seterusnya boleh mempengaruhi kesejahteraan rumah tangga yang dibina.
Mengawal kesan kenaikan harga barang
Dalam dunia pemasaran, syarikat dan peniaga perlu melihat corak perubahan psikologi pengguna kerana pengguna kini lebih mementingkan 'value for money' di mana mereka menitikberatkan tentang wang yang dibelanjakan.
Oleh itu, syarikat perniagaan perlu menawarkan barangan yang berkualiti dengan harga yang setimpal bagi mendapat kesetiaan pelanggan.
Kebanyakan syarikat perniagaan telah menggunakan strategi pemasaran seperti pemberian diskaun, promosi pembelian secara pukal, kos penghantaran secara percuma dan program ganjaran ke atas pelanggan bertujuan untuk menarik minat pengguna.
Selain daripada itu, pemasaran secara digital melalui TikTok, Instagram dan Facebook juga semakin meningkat kerana pengguna lebih senang untuk mendapatkan maklumat tentang sesuatu barangan melalui media sosial.
Kerajaan boleh memainkan peranan dalam mengurangkan beban rakyat dengan menetapkan kawalan harga bagi barang-barang asas, memperkenalkan pemberian subsidi secara bersasar dan juga memberikan bantuan kewangan kepada golongan yang layak.
Selain daripada itu, pemantauan harga yang berterusan juga perlu bagi memastikan tiada pihak yang akan menaikkan harga sesuka hati.
Di satu aspek berbeza, rakyat juga perlu bijak mengendalikan kewangan sendiri dengan membuat perancangan pembelian yang bijak, membeli hanya barang-barang yang perlu sahaja serta membuka tabung simpanan kecemasan. Di samping itu juga, pengetahuan kewangan perlu ditingkatkan agar mereka lebih bersedia untuk berdepan dengan keadaan ekonomi semasa.
Kesimpulannya, kenaikan harga barang menjadi suatu isu yang mencabar dari segi ekonomi dan pada masa yang sama ianya turut mempengaruhi psikologi pengguna.
Oleh itu, kerajaan, peniaga dan pengguna perlu berganding bahu dalam mengekalkan keseimbangan ekonomi dan kestabilan sosial demi kesejahteraan semua pihak.
*** Prof. Madya Dr. Yaty Sulaiman ialah pensyarah di Jabatan Pemasaran, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia. Tajuk dan kandungan artikel ini adalah bersesuaian dengan bidang kepakaran penulis iaitu meliputi tingkah laku pengguna, pemasaran secara umum, strategi & analisis pemasaran dan pemasaran servis