KUALA LUMPUR - Sejarah perkembangan Kluang sejak lebih seabad lalu termasuk peranan British, sektor perladangan dan rangkaian kereta api dihimpunkan menerusi buku 'Kluang: Heart of the Flying Fox'.
Buku berkenaan turut merakam kehidupan masyarakat berbilang kaum serta perkembangan bandar itu dari sudut pentadbiran, ekonomi dan sosial berdasarkan kajian yang dimulakan sejak 2021.
Penulisnya, Simen Lourds Samy berkata, penghasilan buku itu memberi penekanan kepada ketepatan fakta selain mengambil kira pandangan dan pengalaman penduduk tempatan.
Menurutnya, antara perkara yang diperincikan ialah sejarah awal pembangunan Kluang sebagai pusat pentadbiran pada 1915.
“Berdasarkan kajian saya, British mula membangunkan Kluang sebagai pusat pentadbiran pada 1915 selepas berunding dengan Sultan Johor.
“Tokoh perniagaan seperti Gan Kian Wee dan Lee Kong Chian pula memainkan peranan dalam kegiatan perniagaan yang membantu perkembangan bandar itu,” katanya ketika sidang akhbar di sini pada Ahad.
Simen berkata, buku berkenaan turut meneliti peranan sektor perladangan dan rangkaian kereta api yang menjadi antara nadi perhubungan utara dan selatan dalam perkembangan Kluang.
Selain itu, karya berkenaan merakam kehidupan masyarakat Melayu, Cina, India dan Punjabi yang hidup bersama serta saling membantu dalam membangunkan komuniti setempat.
Menurutnya, sebahagian kandungan buku itu turut bersandarkan pengalamannya membesar berhampiran Gunung Lambak serta perkongsian bapa saudaranya, Manikadass, 93.
Meskipun berhijrah ke Singapura pada era 1970-an dan membina kerjaya sebagai guru, Simen berkata, hubungan dengan Kluang tidak pernah terputus sekali gus mendorongnya mendokumentasikan sejarah bandar berkenaan.
Dalam pada itu, sebahagian besar hasil jualan 'Kluang: Heart of the Flying Fox' akan disalurkan kepada beberapa badan kebajikan antaranya Miriam Home, pertubuhan anak yatim di Kluang, rumah orang tua dan Kelab Kiwanis.
Simen turut menghargai sokongan Datuk Seri Garry Chua yang dikenalinya sejak di bangku sekolah dalam merealisasikan penerbitan buku berkenaan.
“Pelancaran buku mengenai Kluang bukan sahaja penting dalam mendokumentasikan sejarah bandar itu, malah menjadi sebahagian daripada usaha memelihara sejarah untuk generasi akan datang,” katanya.