[VIDEO] Kempen Sinar Untuk Jantung Si Kecil beri sinar harapan, kumpul RM134,477.79

Iklan

SHAH ALAM - Kempen Sinar Untuk Jantung Si Kecil memberi sinar harapan kepada kanak-kanak yang memerlukan rawatan jantung apabila berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM134,477.79 hasil keprihatinan masyarakat seluruh negara.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya berkata, sumbangan berkenaan memberi peluang kepada pesakit mendapatkan akses kepada rawatan yang diperlukan, selain meringankan kebimbangan kewangan keluarga.

Iklan
Iklan

Akmal Eirfan (tengah) dan Dr Shaiful Azmi (dua dari kiri) bersama keluarga pesakit yang menerima manfaat daripada Kempen Sinar Untuk Jantung Si Kecil. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Menurutnya, Kumpulan Sinar Harian turut menyumbang RM100,000 bagi membantu pesakit Pusat Jantung Kanak-Kanak dan Kongenital IJN.

Iklan

"Bagi keluarga yang menerimanya, nilainya jauh lebih besar. Ia bermakna anak-anak ini mendapat akses kepada rawatan yang diperlukan. Ia bermakna ibu bapa dapat memberikan tumpuan kepada kesihatan anak tanpa dibebani sepenuhnya oleh kebimbangan kewangan.

Beliau berkata demikian pada Program Sumbangan Sinar Harian kepada Pesakit Pusat Jantung Kanak-Kanak dan Kongenital IJN di IJN pada Selasa.

Iklan

Hadir sama, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Akmal Arief Mohamed Fauzi.

Mengulas lanjut, Dr Shaiful Azmi berkata, kerjasama IJN dan Kumpulan Sinar Harian yang memasuki tahun kedua itu amat bermakna kerana menunjukkan usaha yang dimulakan bukan sekadar satu program sumbangan, tetapi komitmen yang semakin berkembang.

"Melangkah ke hadapan, saya percaya kerjasama ini mempunyai potensi untuk kita perluaskan sebagai satu inisiatif tanggungjawab sosial yang lebih berstruktur dan berterusan.

Haziyah bersama anak perempuan, Ilyana yang menerima manfaat daripada Kempen Sinar Untuk Jantung Si Kecil. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

"IJN boleh membawa kepakaran dalam penjagaan kesihatan jantung, program kesedaran dan saringan komuniti, manakala Sinar Harian mempunyai kekuatan dari segi jangkauan masyarakat serta keupayaan untuk membawa isu-isu kesihatan lebih dekat kepada rakyat," ujarnya lagi.

Menurutnya, kerjasama itu boleh diperluaskan menerusi program yang bukan sahaja membantu pesakit yang telah memerlukan rawatan, tetapi juga bergerak lebih awal melalui peningkatan kesedaran dan saringan dalam komuniti.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi berkata, Kempen Sinar Untuk Jantung Si Kecil berjaya mengumpulkan RM134,477.79 hasil keprihatinan masyarakat seluruh negara.

Beliau berkata, jumlah itu membawa makna yang jauh lebih besar kepada ibu bapa yang sedang berjuang mendapatkan rawatan untuk anak mereka.

Akmal Eirfan (dua dari kiri) melawat wad bersama doktor ketika Program Sumbangan Sinar Harian kepada Pesakit Pusat Jantung Kanak-Kanak dan Kongenital IJN. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Dengan penuh rasa syukur, saya ingin memaklumkan bahawa Tabung Sinar Di Hati melalui kempen Sinar Untuk Jantung Si Kecil berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM134,477.79 hasil keprihatinan masyarakat seluruh negara.

"Jumlah ini mungkin hanya angka pada pandangan sesetengah pihak. Tetapi bagi ibu dan ayah yang sedang berjuang menyelamatkan nyawa anak mereka, jumlah ini membawa makna yang jauh lebih besar. Ia adalah harapan. Ia adalah kelegaan," katanya.

Akmal Eirfan berkata, kempen Sinar Untuk Jantung Si Kecil yang dilancarkan pada 27 Mac 2025 merupakan sebahagian daripada inisiatif Sinar Di Hati iaitu sebuah tabung telah diwujudkan lebih sedekad lalu bagi membantu rakyat Malaysia yang berdepan pelbagai cabaran kesihatan.

Menurutnya, setiap sen yang disumbangkan rakyat akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan tanpa sebarang kos pentadbiran dan tanpa mengira bangsa, agama mahupun latar belakang.

Akmal Eirfan berkata, antara penerima bantuan terawal ialah Muhamad Harris Rayyan Mohd Khusaimi yang memerlukan kos rawatan mencecah RM45,000.

Menerusi kempen itu katanya, pihaknya berjaya membantu mengumpulkan baki kos rawatan sebanyak RM21,565.25 dalam tempoh kira-kira sebulan.

Turut menerima manfaat daripada kempen itu ialah Ethiraj Keysavan yang menerima kutipan sebanyak RM7,936.13 hasil sumbangan masyarakat.

Kakitangan IJN dan Sinar Harian bergambar kenangan sempena Program Sumbangan Sinar Harian kepada Pesakit Pusat Jantung Kanak-Kanak dan Kongenital IJN pada Selasa. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Alhamdulillah kutipan untuk sesi ini, kita dapat membantu tiga orang lagi, Ilyana Humaira Mohammad Idham, 3 tahun; Muhammad Azuarauff Abdul`Azim, 3 tahun 9 bulan dan Muhammad Adam Naufal Mohd Azman, 2 tahun 7 bulan," katanya.

Akmal Eirfan berkata, setiap ringgit yang disumbangkan bukan sahaja membantu menampung kos rawatan, malah memberikan semangat dan keyakinan kepada keluarga bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi ujian ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada IJN atas kerjasama yang diberikan serta semua penyumbang, pembaca, rakan strategik dan rakyat Malaysia yang menunjukkan sifat ihsan dan belas kasihan.

"Mudah-mudahan kerjasama strategik antara Sinar Harian dan IJN ini dapat diteruskan pada masa hadapan agar lebih ramai lagi pesakit yang memerlukan dapat dibantu dan lebih banyak sinar harapan dapat dibawa ke dalam kehidupan mereka," katanya.