PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan Bank Rakyat menjalin kerjasama menerusi pelancaran Kad Kredit-i yang menawarkan manfaat khusus untuk perbelanjaan berkaitan sektor automotif.
Kad Kredit-i Perodua-Bank Rakyat ini direka khusus bagi memenuhi keperluan pemilik kenderaan dengan menawarkan mata ganjaran yang boleh dipindah dan ditebus dengan mudah menerusi aplikasi P-Circle Perodua.
Antara ciri khas yang ditawarkan menerusi Kad Kredit-i termasuk lima kali ganda mata ganjaran ke atas perbelanjaan bahan api, pengecasan kenderaan elektrik, penyelenggaraan kenderaan serta pembelian perlindungan takaful.
Selain itu, Kad Kredit-i turut menawarkan 0 peratus yuran transaksi di luar negara serta tiada yuran tahunan dikenakan ke atas pemegang kad.
Perlindungan takaful turut ditawarkan secara percuma untuk jumlah baki tunggakan maksimum RM300,000, sehingga umur 70 tahun serta Khairat Kematian sebanyak RM1,000.
Lebih istimewa, Kad Kredit-i Perodua-Bank Rakyat ini didatangkan dengan dua rekaan imej eksklusif yang diinspirasikan daripada Perodua QV-E serta karakter TIRA daripada filem animasi yang ditayangkan di aplikasi P-Circle Perodua.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya berterima kasih kepada Bank Rakyat atas sokongan kuat yang diberikan dalam memastikan kerjasama kedua-dua syarikat ini berjalan lancar.
“Pelancaran ini amat bersejarah bagi kami kerana ia adalah kali pertama kami menjalinkan kerjasama dengan institusi perbankan untuk pengeluaran Kad Kredit-i.
“Kami juga akan menjalankan kempen khas untuk menarik pelanggan kami bagi mendapatkan Kad Kredit-i ini menerusi tawaran-tawaran eksklusif Pakej Perodua,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, kerjasama strategik bersama Perodua ini mencerminkan pendekatan Bank Rakyat dalam membina ekosistem yang dapat memberikan nilai dan ganjaran lebih menyeluruh kepada pelanggan melalui gabungan kekuatan perbankan Islam dan industri automotif.
“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi ‘Untuk Semua’ Bank Rakyat dalam memperluas akses kepada penyelesaian kewangan yang inklusif dan relevan kepada seluruh lapisan masyarakat.
“Kami percaya kerjasama seperti ini dapat membuka lebih banyak peluang kepada Bank Rakyat untuk memperluas jangkauan, memperkukuh pengalaman pelanggan serta membangunkan penyelesaian kewangan patuh Syariah yang lebih inovatif dan bernilai tambah,” katanya.
Orang ramai boleh mengunjungi cawangan jualan dan servis Perodua serta cawangan Bank Rakyat yang berdekatan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kelebihan Kad Kredit-i ini.