IPOH – Keterbukaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meneroka kerjasama dengan parti politik di luar Perikatan Nasional (PN) termasuk Pakatan Harapan (PH) dilihat sebagai pendekatan politik terbuka dan realistik dalam menghadapi landskap politik negara yang sentiasa berubah.
Ketua Srikandi Muda Bersatu, Nurul Ezzati Azmi berkata, keterbukaan untuk berbincang dengan mana-mana pihak tidak bermakna Bersatu telah membuat keputusan untuk menerima atau menolak sesuatu bentuk kerjasama.
Menurutnya, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri telah menjelaskan bahawa parti itu sedang meneroka beberapa kemungkinan jajaran politik baharu.
“Kita tidak mahu politik hanya dibina atas sentimen siapa kawan dan siapa lawan. Politik perlu bergerak berdasarkan realiti semasa dan kepentingan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin tidak menolak kemungkinan perbincangan kerjasama politik baharu termasuk membabitkan PH.
Malah pada 20 September, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya pemberita mengesahkan perkara tersebut.
Beliau menjelaskan, sebarang perbincangan berhubung kemungkinan kerjasama antara PH dan Bersatu diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari.
Sementara itu Nurul Ezzati berkata, sebarang jajaran politik baharu perlu dinilai secara matang dan tidak boleh disimpulkan sebagai memberi keuntungan atau kerugian kepada Bersatu sebelum proses rundingan selesai.
Beliau berkata, Bersatu perlu memastikan identiti, prinsip dan kekuatan politiknya sendiri kekal menjadi asas dalam mana-mana rundingan.
“Bersatu mempunyai pengalaman, struktur akar umbi dan generasi pemimpin yang tersendiri. Jadi, jika ada jajaran baharu, kita mahu Bersatu menjadi rakan yang mempunyai nilai dan kekuatan untuk dibawa ke meja rundingan, bukannya sekadar mengikut mana-mana pihak.
“Bagi Srikandi Muda, ukuran kejayaan akhirnya bukan semata-mata berapa banyak kerusi atau jawatan yang diperoleh, tetapi sejauh mana kerjasama tersebut mampu memberikan penyelesaian kepada masalah rakyat dan membuka ruang lebih besar untuk generasi muda dalam politik negara,” katanya.
Mengenai penerimaan golongan muda terhadap kemungkinan kerjasama Bersatu dengan PH, Nurul Ezzati yang berusia 31 tahun itu berkata, generasi itu kini lebih matang dalam menilai sesuatu perkembangan politik.
Katanya, anak muda tidak semestinya membuat penilaian berdasarkan label politik semata-mata, sebaliknya mahu mengetahui perkara yang diperjuangkan serta kesannya terhadap kehidupan dan masa depan mereka.
“Kalau berlaku perubahan dalam jajaran politik, kita perlu berani menjelaskan kepada anak muda mengapa keputusan itu dibuat, apakah prinsip yang dipertahankan dan apa manfaatnya kepada rakyat.
“Bagi saya, anak muda tidak memerlukan politik yang hanya meminta untuk mereka percaya tetapi anak muda memerlukan politik yang sanggup menjelaskan dan mendengar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Srikandi Muda akan memperkukuhkan pendekatan mendekati golongan muda secara berterusan dan tidak hanya ketika musim pilihan raya.
Menurutnya, pendekatan berkenaan termasuk penganjuran Young Professional Dialogue (YoPro), selain aktiviti sukan, rekreasi, gaya hidup, jaringan profesional dan program komuniti.
Nurul Ezzati berkata, hubungan dengan golongan muda perlu dibina terlebih dahulu sebelum sokongan diminta, selain membuka ruang kepada mereka untuk menyumbang sebagai sukarelawan, penggerak komuniti dan akhirnya menjadi sebahagian daripada jentera pilihan raya yang aktif.