PUTRAJAYA - Kes penyakit berkaitan jerebu menunjukkan trend menurun pada Minggu Epidemiologi (ME) 37/2026 dengan kes asma mencatatkan penurunan tertinggi sebanyak 35.36 peratus berbanding minggu sebelumnya, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).
KKM dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan berdasarkan pemantauan harian menerusi 78 fasiliti kesihatan sentinel jerebu di seluruh negara, kes asma berkurangan sebanyak 395 kes kepada 722 kes berbanding 1,117 kes pada ME 36/2026.
Kes konjunktivitis pula menurun 32.04 peratus atau 107 kes daripada 334 kepada 227 kes bagi tempoh sama manakala kes jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) berkurangan 1,426 kes atau 20.18 peratus daripada 7,065 kepada 5,639 kes.
"Walaupun terdapat penurunan kes penyakit berkaitan jerebu yang dipantau, KKM akan terus melaksanakan pemantauan rapi terhadap situasi jerebu dan kesannya terhadap kesihatan, khususnya di kawasan yang merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat,” menurut kenyataan itu.
Setakat jam 7 pagi Selasa, sebanyak 16 stesen merekodkan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat melibatkan 10 di Sarawak, Selangor (dua) serta masing-masing satu di Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Sabah manakala 50 stesen pada tahap sederhana dan dua pada tahap baik.
Selain itu, KKM memaklumkan antara tindakan yang telah dilaksanakan kementerian itu ialah memantau kes URTI, asma dan konjunktivitis setiap hari melalui 78 fasiliti kesihatan sentinel jerebu serta menilai bacaan IPU bersama-sama data survelan kesihatan bagi menentukan tindakan kesihatan awam.
Selain itu, Bilik Gerakan Jerebu Kebangsaan yang diaktifkan pada 4 September terus menyelaras pemantauan dan respons serta memastikan kesiapsiagaan fasiliti kesihatan termasuk ketersediaan ubat, bekalan oksigen serta peralatan perubatan berkaitan.
KKM menasihatkan orang ramai, khususnya di kawasan dengan kualiti udara tidak sihat supaya mengurangkan aktiviti luar bangunan dan menangguhkan aktiviti fizikal lasak.
Kementerian itu juga mengingatkan golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas serta individu dengan penyakit respiratori kronik dan penyakit jantung untuk mengambil langkah berjaga-jaga. - Bernama