Redah 4 jam naik motosikal demi kekasih, remaja ditangkap khalwat

Iklan
Pasangan kekasih masing-masing masih menuntut di pengajian tinggi ditangkap khalwat oleh JAINJ di sebuah bilik hotel.

TANGKAK - Belum sempat menghabiskan masa bersama, pertemuan sepasang kekasih di sebuah bilik hotel di sini berakhir apabila mereka dicekup penguat kuasa JAINJ dalam operasi cegah maksiat pada malam Ahad.

Operasi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) itu dijalankan kira-kira jam 11.45 malam menerusi pemeriksaan berkala di hotel sekitar daerah ini.

Iklan
Iklan

Menurut JAINJ, ketika tiba di hadapan sebuah bilik, penguat kuasa menekan loceng dan mengetuk pintu beberapa kali serta memanggil penghuni, namun tiada jawapan diberikan.

“Tindakan penguat kuasa yang berterusan menekan loceng dan memanggil menyebabkan pintu dibuka kira-kira lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang memakai seluar panjang dan kemeja-T.

Iklan

“Penguat kuasa memperkenalkan diri sambil menunjukkan kad kuasa sebelum masuk ke bilik untuk menjalankan pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Menurutnya, lelaki terbabit ketika ditanya memaklumkan dia berada seorang diri di dalam bilik berkenaan.

Iklan

“Pemeriksaan mendapati pintu tandas ditutup dan lampu tandas juga tidak dinyalakan.

“Penguat kuasa mengetuk pintu tandas sebelum seorang wanita yang memakai kemeja-T dan seluar panjang keluar dari ruang berkenaan,” katanya.

JAINJ berkata, pemeriksaan lanjut di sekitar bilik turut menemukan pakaian dalam dan tudung wanita di atas katil.

“Beg lelaki dan wanita turut ditemukan di atas meja dan kerusi, manakala tuala kedua-duanya didapati sudah basah,” katanya.

Menurut JAINJ, siasatan lanjut mendapati pasangan itu mengaku bukan suami isteri dan bukan juga adik-beradik tiri.

“Kedua-duanya berasal dari Selangor dan berusia belasan tahun, belum 20 tahun.

“Lelaki masih bujang dan sedang belajar di sebuah kolej di Selangor, manakala wanita pula sedang melanjutkan pelajaran,” katanya.

JAINJ memaklumkan pasangan terbabit mengakui sudah menjalinkan hubungan sejak di bangku sekolah, namun kini tinggal berjauhan kerana masing-masing melanjutkan pengajian.

“Lelaki berkenaan datang dengan motosikal dan menempuh perjalanan kira-kira empat jam dari Selangor ke Johor, manakala pasangannya pula datang dari kawasan berhampiran,” katanya.

Pasangan terbabit ditahan atas kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan berdepan tindakan lanjut di Mahkamah Syariah.