SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan keperluan mewujudkan suatu mekanisme rasmi sekiranya 55 rakyat Malaysia yang masih hilang tidak dapat ditemukan dan proses pencarian belum memberikan kepastian.
Perkara tersebut dibangkitkan Anwar ketika mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah sebelum berlepas ke China pagi tadi.
Anwar berkata, beliau akan mengutus surat rasmi kepada PM Shah bagi memperincikan cadangan tersebut.
Menurutnya, langkah itu penting bagi membantu keluarga yang terkesan menguruskan perkara berkaitan undang-undang, kewangan dan pentadbiran.
"Saya sempat mengadakan perbualan telefon dengan PM Shah. Bagi pihak rakyat Malaysia, saya menyampaikan rasa simpati dan dukacita kepada kerajaan serta rakyat Nepal atas bencana dahsyat yang melanda negara itu bulan lalu.
"Saya turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nepal, pihak berkuasa dan pasukan penyelamat yang telah bekerja keras dalam operasi mencari mangsa, termasuk 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui.
Sebelum ini, usaha mendapatkan kepastian mengenai status 55 rakyat Malaysia yang kekal masih belum dapat dihubungi susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal dan China terus dilaksanakan meskipun Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kembali dari Nepal.
Menurut Wisma Putra, sepanjang penugasan, SMART telah melaksanakan aktiviti pencarian di kawasan boleh diakses dengan selamat dan dibenarkan pihak berkuasa Nepal termasuk pencarian di darat dan tinjauan udara menggunakan dron.
Kementerian memaklumkan, kesemua 55 rakyat Malaysia tersebut kekal direkodkan sebagai masih belum dapat dihubungi sementara proses berkaitan bagi menentukan status setiap individu terus dilaksanakan.
Tambah Anwar, menerusi perbualan itu juga, beliau menyampaikan keresahan dan harapan keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih menantikan kepastian mengenai nasib insan tersayang.
"PM Shah memberi jaminan bahawa usaha pencarian akan diteruskan sedaya upaya, meskipun keadaan di lapangan semakin mencabar.
"Saya berharap segala ikhtiar yang digerakkan akan membuahkan hasil dan memberikan kepastian yang amat dinantikan, terutama buat keluarga kesemua 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui," katanya.