MARA Excellent Ventures Sdn Bhd (MEX) bekerjasama dengan CXS Analytics Sdn Bhd (CXS) bagi memperluas penerapan kecerdasan buatan (AI), analitik data dan penyelesaian pembangunan modal insan.
Kerjasama strategik tersebut dimeterai menerusi usaha sama menggabungkan kekuatan rangkaian dan keupayaan pelaksanaan anak syarikat MARA Corporation Sdn Bhd tersebut dengan kepakaran teknologi, analitik serta AI dimiliki CXS.
Perkembangan tersebut, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan penyelesaian yang boleh memberi nilai tambah kepada ekosistem MARA, di samping diperluaskan kepada sektor awam, korporat dan organisasi lain.
Antara potensi yang boleh diteroka termasuk penggunaan AI dan analitik bagi pembangunan bakat serta kompetensi, pemadanan latihan dengan keperluan sebenar tenaga kerja, peningkatan produktiviti organisasi selain penyediaan kecerdasan bagi menyokong keputusan pengurusan lebih pantas berasaskan data.
Ketua Pegawai Operasi MEX, Said Harull Nizam berkata, kerjasama tersebut selari dengan usaha MEX untuk memperkukuh keupayaan syarikat dalam menyediakan penyelesaian yang relevan dengan perubahan teknologi dan keperluan organisasi masa kini.
"Keupayaan ini kemudiannya boleh diperluaskan kepada pasaran yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif CXS, Johnathan JS berkata, kerjasama dengan MEX menyediakan platform strategik untuk membawa teknologi dan kepakaran CXS ke skala yang lebih besar.
"AI seharusnya bukan sekadar teknologi, tetapi menjadi alat untuk membantu organisasi memahami bakat, mengenal pasti jurang kompetensi dan membuat keputusan yang lebih tepat.
"Bersama MEX, kami melihat peluang untuk membawa keupayaan ini kepada ekosistem MARA dan seterusnya kepada organisasi lain yang sedang melalui transformasi digital serta tenaga kerja,” katanya.
Melalui usaha tersebut, MEX dan CXS akan meneroka peluang dalam bidang AI, analitik data, pengurusan bakat kompetensi, pembangunan tenaga kerja serta transformasi digital, termasuk pembangunan penyelesaian yang disesuaikan mengikut keperluan organisasi.
CXS merupakan syarikat teknologi dan analitik modal insan yang membangunkan penyelesaian berasaskan data, AI dengan pengalaman menyokong ekosistem pembangunan bakat serta kerjaya melibatkan lebih 300,000 pengguna.
Kerjasama tersebut turut meletakkan MEX dalam kedudukan untuk memperluas peranannya sebagai rakan strategik penyelesaian teknologi dan modal insan, dengan potensi untuk menyokong agenda transformasi dalam ekosistem MARA serta membawa penyelesaian tersebut ke pasaran yang lebih luas.