GEORGE TOWN - Nelayan sungai yang menemui atau berjaya menangkap ikan yang disyaki piranha di sekitar Empangan Klau, Raub di Pahang diminta supaya tidak membuang spesimen berkenaan sebaliknya menyerahkannya kepada Jabatan Perikanan bagi tujuan pengesahan.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, langkah itu penting kerana sehingga kini pihaknya masih belum memperoleh spesimen fizikal ikan berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan lanjut bagi menentukan sama ada ia benar-benar ikan piranha atau spesies lain seperti Pacu.
Menurutnya, analisis awal bersama Institut Penyelidikan Perikanan di Glami Lemi berdasarkan rakaman video yang diperoleh daripada seorang nelayan darat di Empangan Klau mendapati ikan berkenaan mempunyai ciri morfologi yang menghampiri spesies piranha.
“Berdasarkan morfologi dalam video tersebut, kita membuat kesimpulan bahawa ia menghampiri spesies ikan piranha.
“Cuma kita tidak dapat membuat pengesahan kerana tidak mempunyai spesimen fizikal. Nelayan yang mendapatkan ikan itu telah membuang spesimen berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Pusat Pendidikan Marin, Angsana Teluk Bahang di sini pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan, Jabatan Perikanan Pahang menyiasat dakwaan berhubung ikan piranha perut merah atau nama saintifiknya, pygocentrus nattereri yang didaratkan seorang pemancing di Empangan Klau, Raub sehingga mengundang kebimbangan orang ramai.
Susulan itu, rakaman video dan gambar ikan diserahkan kepada IPP bagi pengesahan identiti spesies terbabit.
Tambah Adnan, pemeriksaan secara fizikal diperlukan bagi melihat ciri morfologi termasuk sisik, gigi dan bentuk badan ikan sebelum pengesahan dapat dibuat sehingga ke peringkat genus dan spesies.
“Jadi buat masa ini, kita hanya boleh membuat kesimpulan bahawa ia menghampiri genus piranha tetapi spesiesnya tidak dapat disahkan kerana kita hanya mempunyai rakaman video.
Adnan berkata, nelayan sungai di kawasan berkenaan turut diminta berbuat demikian sebelum spesimen diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk pengesahan rasmi.
Beliau berkata, pihaknya turut menerima laporan daripada nelayan darat lain yang mendakwa menemui spesies menyerupai piranha namun ikan berkenaan turut dibuang menyebabkan dakwaan itu tidak dapat disahkan.
“Pertamanya kita menerima dakwaan dapat seekor. Kemudian kita mendapat maklumat daripada nelayan darat lain bahawa mereka juga menemui spesies yang dikatakan menyerupai piranha, tetapi spesies itu dibuang.
“Sebab itu kita minta apabila menemui spesies ini, jangan buang, sebaliknya simpan dan serahkan secara rasmi kepada Jabatan Perikanan untuk kita sahkan,” katanya.
Dalam pada itu, Adnan berkata, mana-mana pihak yang menemui ikan berkenaan tidak seharusnya melupuskannya secara sembarangan kerana piranha merupakan spesies larangan.
Katanya, pemilikan atau penyimpanan ikan piranha adalah tertakluk kepada peraturan sedia ada dan memerlukan kelulusan Jabatan Perikanan.
“Jadi kita berharap sekiranya ada pihak yang mendapat ikan piranha ini, jangan buang atau lupuskan sembarangan tetapi serahkan kepada Jabatan Perikanan untuk kita buat pengesahan dari segi genus dan spesiesnya,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan pihaknya sedang mengadakan kerjasama dengan Aquawalk dan Aquaria KLCC bagi membantu mengenal pasti spesies ikan yang dilaporkan terdapat di Empangan Klau itu.
Katanya, Aquaria KLCC mempunyai spesimen hidup ikan piranha selain mempunyai data DNA yang boleh digunakan bagi tujuan perbandingan.
“Kita akan bekerjasama dengan pihak Aquawalk dan Aquaria untuk mengenal pasti sama ada ikan yang ada di Empangan Kelau itu benar-benar piranha atau pacu.
“Kita berharap kerjasama ini sedikit sebanyak dapat membantu merungkai perkara berkenaan pada masa akan datang,” katanya.
Menurutnya, pengesahan juga boleh dilakukan melalui kaedah asid deoksiribonukleik persekitaran (eDNA) yang membolehkan pengesanan spesies berdasarkan sampel persekitaran di lokasi berkenaan.
Selain itu katanya, analisis DNA daripada spesimen fizikal juga boleh digunakan bagi pengecaman sehingga ke peringkat genus dan spesies.
“Melalui eDNA, kita boleh mengenal pasti melalui lokasi manakala DNA daripada spesimen pula membolehkan pengecaman dibuat sehingga ke peringkat genus dan spesies,” katanya.