Messi mampu sekali lagi menang Ballon d’Or

Iklan
Lionel Messi

ALEXIS Mac Allister percaya Lionel Messi masih mempunyai peluang untuk memenangi anugerah Ballon d’Or walaupun sudah berusia 39 tahun.

Pemain tengah Argentina itu tanpa berselindung menyatakan sokongannya terhadap bintang legenda berkenaan selain mengakui seluruh rakyat Argentina pastinya mahu melihat Messi sekali lagi merangkul anugerah individu berprestij itu.

Iklan
Iklan

"Ya, sudah tentu. Sebagai rakyat Argentina, kami mahu Messi memenanginya. Dia memberikan persembahan luar biasa di Piala Dunia dan saya tidak nampak sebab mengapa dia tidak patut menerima anugerah itu," kata Mac Allister.

Pemain berusia 27 tahun itu turut mengakui statistik kini memainkan peranan besar dalam penentuan pemenang Ballon d’Or selain mengakui sukar untuk mengetahui dengan tepat faktor yang menjadi asas undian.

Iklan

"Pada masa kini, kita faham bahawa angka dan statistik memainkan peranan besar, sesuatu yang tidak begitu penting pada masa lalu. Kita juga tidak tahu dengan tepat berdasarkan apa undian dibuat.

"Namun, setiap calon yang berada dalam persaingan adalah pemain hebat dan sesiapa yang menghampiri anugerah itu memang layak menerimanya," katanya.

Iklan

Mac Allister turut menegaskan Messi tidak terlalu mementingkan pencapaian individu kerana sentiasa meletakkan kepentingan pasukan sebagai keutamaan.

"Kita semua tahu Leo sentiasa mengutamakan pasukan berbanding pencapaian individu, jadi perkara itu bukan masalah besar buatnya," katanya.

Messi menamatkan karier antarabangsanya sebagai penjaring terbanyak dan pemain dengan penampilan paling banyak untuk Argentina, masing-masing dengan 125 gol dalam 207 penampilan.

Pada usia 39 tahun, beliau mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan selepas membantu Argentina mara ke final Piala Dunia 2026 sebelum dijadualkan membuat penampilan perpisahan menentang Benin pada 6 Oktober.