PENYERANG naturalisasi baharu negara, Bergson Da Silva menganggap harapan tinggi yang diletakkan terhadapnya bagi membantu menyelesaikan masalah penyudah skuad Harimau Malaya sebagai satu tanggungjawab, bukannya tekanan.
Penyerang kelahiran Brazil itu berkata, kepercayaan yang diberikan kepadanya perlu dibalas dengan kesungguhan untuk memberikan sumbangan terbaik bersama pasukan kebangsaan.
“Saya menganggapnya sebagai satu tanggungjawab besar dan baik, bukan sebagai tekanan kerana setiap langkah yang kita ambil dalam hidup mempunyai sasaran tersendiri.
“Berada di sini adalah satu lagi tanggungjawab besar dan saya akan memberikan segala-galanya. Saya memang sentiasa mahu memakai jersi ini dan bersama pasukan,” katanya ketika ditemui pada hari pertama kem latihan skuad kebangsaan di Petaling Jaya pada Isnin.
Bergson yang muncul penjaring terbanyak Liga Malaysia musim lalu berkata, dia tidak pernah membayangkan sejak awal pembabitannya di Malaysia bahawa peluang menyarung jersi Harimau Malaya akhirnya menjadi kenyataan.
Menurutnya, pemilihan itu menjadi detik istimewa buat dirinya dan keluarga selepas lebih lima tahun beraksi dalam saingan bola sepak tempatan.
“Tak pernah. Sebab itu saya katakan, berada di sini seperti satu impian buat saya, keluarga dan semua yang melalui detik ini bersama saya sepanjang lebih lima tahun.
“Berada di sini dan mewakili jersi serta negara ini adalah satu penghormatan kepada kami semua. Kami di sini untuk memberikan yang terbaik dan saya adalah sebahagian daripada mereka,” katanya.
Bergson turut mendedahkan dia sudah menonton beberapa perlawanan Malaysia sebelum menyertai kem bagi mendapatkan gambaran mengenai suasana beraksi bersama skuad kebangsaan.
Katanya, beberapa rakan sepasukan di Johor Darul Ta'zim (JDT) yang pernah mewakili Malaysia turut berkongsi pengalaman mengenai perbezaan suasana serta jangkaan apabila menyarung jersi negara.
“Sebelum datang, saya ada menonton beberapa perlawanan dan sorotan kerana saya mempunyai rakan sepasukan di sini sebelum ini.
“Mereka sentiasa memberitahu saya bahawa suasananya berbeza apabila memakai jersi negara. Jangkaan juga sangat tinggi,” katanya.
Malaysia dijadual membuka kempen Piala ASEAN FIFA menentang Bangladesh pada 25 September ini sebelum berdepan Indonesia dan Singapura dalam usaha memburu slot ke final.