Hakim Danish alih tumpuan ke Jepun

Iklan
Hakim Danish FOTO: ZK Racing

 

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mengalihkan tumpuan ke Grand Prix (GP) Jepun dengan tekad mencatatkan keputusan lebih cemerlang selepas menamatkan saingan GP Austria di tempat kesembilan di Litar Red Bull Ring, Spielberg.

Iklan
Iklan

 

Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu menyifatkan pusingan di Mobility Resort Motegi dari 2 hingga 4 Oktober ini sebagai peluang untuk meneruskan momentum positif selepas mengutip tujuh mata.

Iklan

 

Penamat di tempat kesembilan itu turut membolehkan pelumba berusia 19 tahun berkenaan melonjak satu anak tangga ke kedudukan ketujuh keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3 dengan mengumpul 101 mata.

Iklan

 

“Saya amat teruja untuk menghadapi perlumbaan seterusnya di Asia, khususnya di Jepun, dan bertekad untuk mencatatkan keputusan yang lebih cemerlang.

 

“Terima kasih atas sokongan berterusan semua pihak,” katanya.

 

Hakim Danish memulakan perlumbaan di Austria dari petak ke-15 sebelum melakukan kebangkitan berperingkat dengan memperbaiki kedudukan kepada P14 pada pusingan pertama, P12 pada pusingan kedua dan P11 pada pusingan ketiga.

 

Dia kemudian menembusi kelompok sembilan terbaik pada pusingan keempat, namun rentaknya sedikit terjejas pertengahan perlumbaan apabila melakukan beberapa kesilapan ketika cuba mendapatkan posisi lebih baik.

 

Kesilapan itu menyebabkan kedudukannya merosot sehingga P14 pada pusingan ke-15, tetapi pelumba kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu enggan mengalah apabila kembali mengatur rentak pada penghujung perlumbaan.

 

Hakim Danish memperbaiki kedudukan kepada P12 pada pusingan ke-17 dan P11 pada pusingan ke-19 sebelum melintasi garisan penamat di tempat kesembilan.

 

Menurutnya, keserasian dengan jentera yang semakin baik membantunya kembali mendapatkan rentak selepas bergelut pada pertengahan perlumbaan.

 

“Bagi perlumbaan hari ini, saya berjaya menamatkan saingan di tempat kesembilan selepas bermula dari petak ke-15.

 

“Pada awal perlumbaan, saya melakukan permulaan yang baik dan cuba memacu jentera semaksimum mungkin sehingga berjaya memperbaiki beberapa kedudukan.

 

“Bagaimanapun, pada pertengahan saingan tadi, saya agak bergelut kerana terlalu memaksa jentera hingga melakukan kesilapan yang menyebabkan saya ketinggalan semula ke belakang.

 

“Menjelang penghujung perlumbaan, saya berusaha untuk bangkit semula dan memecut bagi memintas beberapa pelumba di hadapan saya. Keserasian saya dengan jentera juga bertambah baik. Terima kasih kepada pasukan yang bekerja keras sepanjang minggu ini,” katanya.

 

Sementara itu, pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin melihat kebangkitan Hakim Danish di Austria sebagai perkembangan positif, namun berkata, masih ada beberapa aspek yang perlu diperhalusi menjelang pusingan Asia.

 

Katanya, pelumba muda itu perlu memperkemas teknik tunggangan dan mengawal jangkaan terhadap dirinya selepas pernah merasai kemenangan serta menaiki podium sebelum ini.

 

“Saya percaya masih banyak perkara yang perlu diperhalusi oleh Danish, khususnya dari segi teknik tunggangannya. Pasukan sebenarnya tidak meletakkan sasaran yang terlalu tinggi.

 

“Namun, apabila kita sudah merasai kemenangan dan berada di podium sebelum ini, sasaran peribadi terhadap dirinya secara tidak langsung meningkat.

 

“Justeru, apa yang paling penting ketika ini adalah mengurus jangkaan terhadap dirinya sepanjang melalui fasa sebagai pelumba baharu (rookie).

 

“Penanda aras ketika ini sangat tinggi apabila Brian Uriarte kerap menaiki podium dalam hampir setiap perlumbaan.

 

“Saya berharap Danish dapat mengubah sedikit gaya tunggangannya agar lebih tenang dan mampu konsisten bersaing dalam kelompok hadapan, sekali gus bersedia sepenuhnya menjelang GP Malaysia nanti,” katanya.

 

GP Austria dimenangi pendahulu kejuaraan daripada CFMOTO Gaviota Aspar Team, Maximo Quiles dengan catatan 33 minit 24.323 saat, diikuti Brian Uriarte (Red Bull KTM Ajo) di tempat kedua (33 minit 26.657 saat), manakala rakan sepasukannya, Alvaro Carpe di tempat ketiga (33 minit 31.717 saat).

 

Selepas GP Jepun, Kejuaraan Dunia Moto3 diteruskan dengan GP Indonesia dan GP Australia sebelum melabuhkan tirai menerusi GP Malaysia.