MIHAS 2026 sedia buka tirai, himpun pemain industri halal dunia

Iklan
MIHAS 2026 menyasarkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM5 bilion menerusi pameran dan program padanan perniagaan.

PAMERAN Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-22 bakal membuka tirainya di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) Kuala Lumpur pada 23 September 2026 dengan sasaran nilai jualan keseluruhan sebanyak RM5 bilion.

Berlangsung selama empat hari, MIHAS 2026 dijangka menarik 50,000 pengunjung dari 45 negara serta menghimpunkan 1,700 syarikat menerusi 2,400 reruai.

Iklan
Iklan

Dianjurkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan dikendalikan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), acara berkenaan menghimpunkan pemain industri halal tempatan dan antarabangsa menerusi pameran serta program padanan perniagaan.

Menariknya, pelawat perdagangan dan orang awam digalakkan membuat pendaftaran menerusi laman web MIHAS yang turut memberikan akses kepada sistem kecerdasan buatan (AI) baharu bagi membantu peserta merancang serta memudahkan perjalanan mereka sepanjang acara.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Indera Abu Bakar Yusof berkata, dengan MIHAS 2026 dijangka menerima 50,000 pengunjung, sistem AI berkenaan akan menyediakan setiap peserta berdaftar dengan ejen AI khusus serta sokongan diperibadikan.

Menurutnya, kemudahan itu membantu peserta mengenal pasti peluang perniagaan, berinteraksi dengan pempamer serta membina hubungan yang relevan.

Iklan

Selain itu, pendekatan berkenaan dijangka meningkatkan pengalaman peserta di MIHAS di samping menyokong usaha mencapai sasaran nilai jualan RM5 bilion tahun ini.

“Sistem AI ini meletakkan MIHAS 2026 sebagai antara pameran perdagangan berteraskan teknologi terkemuka di Malaysia.

“Ia direka untuk membantu perniagaan mengenal pasti peluang yang relevan, berhubung dengan rakan niaga yang sesuai dan berinteraksi dengan lebih berkesan dalam ekosistem halal global,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, MIHAS 2026 turut menggabungkan fungsi padanan perniagaan, sokongan pelbagai bahasa, navigasi pameran, pengurusan mesyuarat serta penglibatan selepas acara.

“Keupayaan ini akan menyediakan pengalaman pameran perdagangan yang lebih bersepadu kepada peserta sebelum, semasa dan selepas MIHAS 2026,” katanya.

MIHAS 2026 akan menampilkan enam komponen teras iaitu pameran, International Sourcing Programme (INSP), Knowledge Hub, Women in Export (WiEX), MIHAS Awards dan Hosted Buyer Programme.

Pameran: Komponen pameran akan menjadi hab komersial bagi ekonomi halal global dengan menghubungkan pembekal antarabangsa, pembeli perdagangan dan pemimpin industri.

Kluster sektor yang diketengahkan merangkumi makanan dan minuman, bahan ramuan halal, kosmetik dan penjagaan diri, farmaseutikal, fesyen sopan, logistik halal serta kewangan Islam.

Platform itu menyediakan peluang kepada perniagaan memperkenalkan produk masing-masing selain meneroka pasaran baharu.

International Sourcing Programme (INSP): INSP merupakan program padanan perniagaan utama MIHAS yang dijangka memudah cara 4,000 pertemuan antara 450 pembeli antarabangsa, termasuk 50 pembeli premium, dengan kira-kira 600 pengeksport Malaysia.

Program berkenaan dijangka menyumbang kepada sasaran nilai jualan keseluruhan MIHAS 2026.

Knowledge Hub: Ditubuhkan pada 2021, Knowledge Hub berfungsi sebagai platform strategik yang melengkapkan pengeksport Malaysia, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dengan risikan perdagangan bagi membantu mereka menembusi pasaran global.

Ia beroperasi sebagai sumber sepanjang tahun dengan memanfaatkan kandungan berasaskan AI dan program digital menerusi Portal MIHAS, YouTube serta MADANI Digital Trade Platform (MDTP).

Pendekatan itu menyediakan maklumat dan pandangan pasaran secara berterusan, melangkaui tempoh pameran selama empat hari.

Program utamanya, Power Talk 2026, bertemakan “The Next Wave of the Halal Trade” dan menampilkan pemimpin daripada DHL Malaysia, UOB Malaysia serta Farm Fresh Berhad.

Mereka akan berkongsi strategi yang boleh dilaksanakan berkaitan daya tahan rantaian bekalan dan daya saing antarabangsa dalam menghadapi ketidaktentuan perdagangan global.

Platform berkenaan turut menyediakan pembelajaran berterusan menerusi webinar Prelude dan Meet the Experts, selain ruang khusus baharu seperti WiEX Forum dan MIHAS Corner, yang sebelum ini dikenali sebagai Pocket Talks.

Kedua-dua ruang itu memberi tumpuan kepada trend baharu, strategi kemasukan pasaran dan peluasan perniagaan ke peringkat global.

Women in Export (WiEX): WiEX kini diperluaskan menjadi sebuah pavilion khusus yang menampilkan 80 reruai berteraskan usahawan wanita dalam industri halal.

Ia terdiri daripada 60 pempamer Malaysia dan 20 pempamer antarabangsa.

Program itu turut mengiktiraf perniagaan yang diterajui wanita menerusi majlis anugerah khas, selain sesi fireside chat bersama pengasas NOIR dan sesi panel bersama pemimpin industri.

NOIR turut menjadi penaja Pavilion WiEX

MIHAS Awards: MIHAS Awards merupakan program utama yang mengiktiraf syarikat cemerlang yang membentuk masa depan industri halal global menerusi kecemerlangan, inovasi, kelestarian dan transformasi digital.

Anugerah itu disampaikan menerusi tiga kategori teras iaitu Excellence Awards; Innovation, Sustainability and Digitalisation Awards; serta buat pertama kalinya, Women in Export Awards.

Program berkenaan menggalakkan keterangkuman lebih besar dengan mengetengahkan perniagaan cemerlang yang diterajui wanita serta sumbangan mereka terhadap pertumbuhan dan pengantarabangsaan ekonomi halal.

Hosted Buyer Programme: Hosted Buyer Programme pula menghubungkan pempamer antarabangsa MIHAS dengan pengimport, pengedar dan peruncit Malaysia.

Program itu bertujuan membantu mereka memasuki pasaran Malaysia serta menggunakan Malaysia sebagai hab bagi peluasan perniagaan ke peringkat serantau.

Selain enam komponen teras berkenaan, MIHAS 2026 turut menampilkan persembahan pentas peragaan setiap hari yang mengetengahkan trend fesyen sopan serta demonstrasi kulinari secara langsung di MIHAS Kitchen.

MIHAS Kitchen turut diperluaskan kepada dua tingkat dan akan menampilkan sesi masakan secara langsung oleh 32 cef terkemuka sepanjang empat hari acara, peningkatan berbanding 15 cef pada tahun lalu.