PRODUK sirap premium keluaran syarikat pengeluar makanan dan minuman tempatan, Callabio Manufacturing Sdn Bhd menerusi jenama Bariistar mencipta pencapaian baharu apabila berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat (AS) menerusi penghantaran eksport sulung membabitkan 16,800 botol bernilai RM840,000.
Langkah tersebut dilihat sebagai permulaan kepada usaha memperkukuh kedudukan jenama makanan dan minuman (F&B) Malaysia di peringkat antarabangsa.
Dengan sasaran menembusi antara 2,000 hingga 5,000 premis coffee shop, restoran dan perniagaan F&B di beberapa bandar utama AS termasuk New York City, Chicago, Detroit, Dallas, Seattle serta San Francisco Bay Area.
Pengarah Callabio Manufacturing Sdn Bhd, Dr Shahir Suhaimi berkata, eksport tersebut merupakan hasil perjalanan pembangunan jenama Bariistar yang bermula sejak 2021, disokong pengalaman syarikat dalam industri minuman selama hampir lapan tahun.
Menurutnya, melalui pengedar eksklusif di AS, Bariistar menyasarkan jualan antara 30,000 hingga 50,000 botol sebulan, selain merancang memperluaskan rangkaian produk kepada kategori sos, minuman serbuk dan puri.
"Penghantaran pertama itu bukan dilihat sebagai destinasi akhir, sebaliknya merupakan permulaan kepada pembangunan pasaran Bariistar yang lebih besar di AS serta pasaran antarabangsa lain," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, penghantaran komersial pertama tersebut dilancarkan dalam Majlis Flag-Off Kontena Eksport di MARA Halal Industrial Park, Batu Caves pada Sabtu.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Infrastruktur Komersial MARA, Mimi Mazlin Mohamad Yusof.
Dalam pada itu, Shahir berkata, syarikat turut berdepan cabaran peningkatan kos logistik global dan perlu menilai beberapa laluan penghantaran serta kadar freight sebelum eksport pertama berjaya direalisasikan.
Shahir berkata, pembangunan pasaran antarabangsa syarikat turut diperkukuh menerusi penyertaan dalam Malaysia Batam International Exhibition pada 2023 yang membuka laluan ke Indonesia, sebelum meraih pengiktirafan di Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2024.
Sehingga kini, produk Bariistar telah memasuki sembilan pasaran antarabangsa, menjadikan AS sebagai destinasi strategik terbaharu.
Beliau menambah, keupayaan syarikat menembusi pasaran global disokong pematuhan piawaian keselamatan makanan.
Ia termasuk pensijilan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP).
Selain itu, Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan status kemudahan pengeluaran yang berdaftar dengan U.S. Food and Drug Administration (FDA).
"Kami mahu membuktikan bahawa produk F&B keluaran usahawan Bumiputera Malaysia mempunyai kualiti, pematuhan dan daya saing untuk memasuki pasaran global.
"Eksport ke Amerika Syarikat ini bukan sekadar penghantaran produk, tetapi satu langkah penting dalam membawa jenama Malaysia ke pentas antarabangsa," katanya.
Bagi keseluruhan operasi, Callabio Manufacturing menetapkan sasaran jualan sebanyak RM8 juta bagi tahun 2026.