AGROBANK terus memperkukuh sokongan terhadap pembangunan ekonomi komuniti pesisir menerusi penglibatan sebagai rakan strategik Majlis Penutup Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 yang berlangsung dari 18 hingga 20 September di Tapak Menteri Besar Incorporated (MBI), Kuala Perlis.
Menerusi penyertaan itu, Agrobank membuka reruai bagi memperkenalkan produk dan perkhidmatan perbankan kepada pengunjung selain menyediakan khidmat nasihat berkaitan keperluan kewangan peribadi serta perniagaan.
Penglibatan tersebut turut memberi peluang kepada individu serta usahawan mendapatkan maklumat secara langsung mengenai kemudahan kewangan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, penglibatan Agrobank sebagai rakan strategik pesta tersebut merupakan kesinambungan usaha Bank dalam menyokong komuniti dan usahawan di Perlis.
Menurut beliau, sehingga kini, Agrobank telah menyalurkan pembiayaan mikro berjumlah RM8.49 juta kepada usahawan di Perlis termasuk RM592,000 kepada komuniti nelayan di Kuala Perlis bagi memenuhi keperluan modal dan mengembangkan perniagaan mereka.
“Selain sokongan pembiayaan, Agrobank turut menjalankan usaha menaik taraf kawasan Kampung Warna-Warni di Seberang Ramai, Kuala Perlis menerusi inisiatif Lorong Agrobank.
"Usaha ini bertujuan menambah baik persekitaran kawasan berkenaan sebagai salah satu tarikan pelancongan setempat,” katanya.
Tambahnya, Program Cashless Agrobank turut dilaksanakan di kawasan berkenaan bagi menggalakkan penggunaan pembayaran digital dalam kalangan peniaga dan masyarakat setempat.
“Setakat ini, kira-kira 90 peratus peniaga di Kampung Warna-Warni telah menggunakan DuitNow QR Agrobank dalam urusan jual beli, selari dengan agenda nasional untuk memperluas penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai yang lebih selamat serta efisien," katanya.
Dalam pada itu, program seperti Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis menghimpunkan masyarakat, usahawan dan pengusaha tempatan dalam satu platform sekali gus memberi ruang kepada Agrobank untuk berinteraksi secara langsung dengan mereka dan memahami keperluan masing-masing dengan lebih dekat.
Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan, Agrobank bukan sahaja menyediakan pembiayaan, tetapi turut memperluas akses kepada maklumat, khidmat nasihat dan pilihan kewangan, di samping meneruskan usaha pendigitalan bagi memudahkan urusan transaksi.
Agrobank juga akan terus memperkukuh penglibatan bersama komuniti di Perlis bagi menyokong pembangunan usahawan, komuniti nelayan dan pertumbuhan ekonomi setempat secara mampan.