SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu terlebih dahulu mendengar pandangan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berhubung pendiriannya mahu melepaskan jawatan dalam Kabinet susulan keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, pendapat Ahli Parlimen Seremban itu penting memandangkan isu berkaitan usaha membanteras rasuah melibatkan prinsip yang selama ini ditegaskan kerajaan.
"Saya dimaklum (mengenai peletakan jawatan), dia dah maklum kepada saya. Saya belum sempat bincang apa pun lagi.
"Saya kena dengar pandangan dia. Saya faham sebab dia ini orang yang ada prinsip dan dia memang dari awal konsisten bantah aturan yang boleh beri gambaran seolah-olah kita lemah atau longgar terhadap amalan rasuah.
"Terutama bila kita ambil tindakan lain yang banyak, termasuk rasuah-rasuah kecil. Jadi lebih baiklah saya jumpa dia, dengar pandangan dia dan baru saya boleh bagi keputusan," katanya ketika ditemui pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis, di sini pada Ahad.
Anthony pada Sabtu dilapor mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sebagai reaksi parti terhadap keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah itu menjelaskan, keputusan tersebut dibuat selepas cadangan peletakan jawatan dibincangkan dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.
Dalam pada itu Anwar memaklumkan, akan bertemu dengan Anthony dalam masa terdekat bagi berbincang lanjut perkara tersebut.
"Dia pun nak ke Shanghai. Mungkin dia ke Shanghai dulu (tetapi) sudah maklum kepada saya. Dia akan bawa (perkara itu) dan bincang dengan saya.
"Saya kata tak apalah, bila ada ruang (jumpa) sebab hari ini saya di sini, kemudian ke Melaka. Esok dia ke Shanghai, saya ke Shanghai pada hari Selasa atas perbincangan dengan Premier Li Qiang," katanya
Sementara itu ditanya sama ada perkembangan berkenaan akan memungkinkan rombakan Kabinet, Anwar dengan ringkas hanya menjawab:
"Satu-satulah," ujarnya.