SHAH ALAM - Reka bentuk MyKad baharu yang dilancarkan di seluruh negara pada 16 September lalu belum tersedia untuk pendaftaran MyDigital ID.
Menurut portal teknologi dan automotif SoyaCincau, MyKad baharu turut berdepan masalah keserasian ketika dihubungkan dengan beberapa sistem Kenali Pelanggan Anda secara elektronik (e-KYC).
Jelasnya, ujian mendapati MyKad baharu ditolak ketika proses e-KYC bagi pendaftaran akaun Ryt Bank, AEON Bank, GXBank dan Touch ‘n Go eWallet.
"Kini MyDigital ID juga terjejas. Situasi semasa menunjukkan industri dan agensi kerajaan masih belum bersedia sepenuhnya menerima kad pengenalan nasional dengan reka bentuk baharu ini.
"Aplikasi MyDigital ID masih memaparkan templat MyKad lama iaitu gambar pemegang kad di sebelah kanan, manakala cip di sebelah kiri," katanya pada Ahad.
Bagaimanapun, MyDigital ID menerusi kenyatan media pada Jumaat lalu mengeluarkan notis mengesahkan bahawa pengguna kali pertama yang memiliki MyKad baharu ketika ini tidak dapat melengkapkan proses pendaftaran dalam talian seperti biasa.
Tambahnya, sokongan pendaftaran dalam talian menggunakan MyKad baharu hanya akan tersedia mulai 1 Oktober depan.
Kata MyDigital ID, bagi pengguna sedia ada yang kemudiannya menggantikan kad pengenalan lama dengan MyKad baharu, tiada kesan terhadap sijil MyDigital ID sedia ada.
Menurutnya lagi, pengguna boleh terus menggunakan platform berkenaan seperti biasa.
"Namun, pengguna kali pertama yang ingin mendaftar MyDigital ID menggunakan MyKad baharu perlu menggunakan kiosk MyDigital ID fizikal buat sementara waktu.
"Ambil perhatian bahawa cip MyKad kini terletak pada bahagian belakang. Oleh itu, MyKad perlu diterbalikkan sebelum dimasukkan ke dalam pembaca kad," ujarnya.
MyDigital ID memaklumkan terdapat hampir 700 kiosk di seluruh negara dan pengguna boleh membuat pendaftaran di mana-mana kiosk sementara menunggu fungsi pendaftaran dalam talian untuk MyKad baharu tersedia pada 1 Oktober.
Pengguna yang ingin memohon atau menggantikan MyKad di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh memaklumkan kepada pegawai untuk membuat prapendaftaran MyDigital ID ketika proses permohonan MyKad.
Selepas proses prapendaftaran selesai, pengguna boleh meneruskan pendaftaran MyDigital ID menerusi telefon pintar tanpa perlu mengimbas MyKad sebagai sebahagian daripada proses e-KYC seperti biasa.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan MyKad baharu hadir dengan reka bentuk yang dilengkapi 53 ciri keselamatan.