KOTA BHARU - Polis Kelantan menerima 94 laporan berkaitan penipuan 'tiga penjuru' apabila penjenayah mencuri atau menggunakan iklan barangan milik peniaga sebenar untuk memperdaya pembeli dalam talian sehingga wang pembayaran masuk ke akaun mereka.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 75 laporan membabitkan pembeli yang menjadi mangsa penipuan, manakala 19 laporan lagi melibatkan penjual yang iklan barangan mereka telah digunakan penjenayah.
Menurut beliau, sebanyak 66 kertas siasatan telah dibuka berhubung kes berkenaan sehingga 15 September lalu.
"Tumpat mencatatkan jumlah laporan tertinggi iaitu 35 laporan, diikuti Kota Bharu sebanyak 22 laporan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Mohd Yusoff memberitahu, dalam modus operandi berkenaan, penjenayah mengambil atau menggunakan maklumat iklan barangan milik penjual sebenar sebelum berurusan dengan pembeli seolah-olah barangan tersebut adalah milik mereka.
Ujarnya, pembeli kemudiannya diarahkan membuat pembayaran mengikut arahan penjenayah tanpa menyedari mereka sebenarnya berurusan dengan individu lain yang menyamar sebagai penjual.
"Antara barangan yang direkodkan dalam laporan termasuk motosikal, kereta, pacuan empat roda dan telefon bimbit," katanya.
Menurut Mohd Yusoff, siasatan masih dijalankan bagi mengesan dan menangkap semua suspek yang terlibat.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru membuat bayaran, terutama apabila harga barangan yang ditawarkan terlalu murah.
"Pastikan identiti penjual, pemilikan barangan dan akaun penerima bayaran benar-benar sepadan sebelum meneruskan transaksi.
"Ingat, barangan mungkin benar-benar wujud, tetapi orang yang anda berurusan mungkin penjenayah," katanya.
Mohd Yusoff memberitahu, individu yang baru sahaja membuat transaksi dan menyedari telah ditipu perlu segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 selain membuat laporan polis.