Malaysia tidak cadang hantar MALBATT ke Yaman - Mohamed Khaled

Iklan
Mohamed Khaled - Foto: SINAR HARIAN/NOR AZURA MD AMIN

KOTA TINGGI - Malaysia tidak bercadang untuk menghantar pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) ke Yaman susulan konflik bersenjata yang kembali memuncak di negara itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang keputusan berkaitan penugasan pasukan pengaman Malaysia perlu berdasarkan keputusan serta mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Iklan
Iklan

“PBB tidak pernah menghantar mana-mana pasukan untuk terlibat dalam peperangan. Kalau masuk di tengah-tengah zon peperangan aktif, akan berlaku korban jiwa dan raga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Mualidur Rasul Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2 dekat sini pada Ahad.

Iklan

Mohamed Khaled (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi. Foto: SINAR HARIAN/NOR AZURA MD AMIN

Sebelum ini, media melaporkan konflik di Yaman kembali memuncak sejak awal September apabila kumpulan Houthi melancarkan kemaraan di sepanjang pantai barat menuju Selat Bab al-Mandab.

Iklan

Pertempuran dengan pasukan kerajaan menyebabkan lebih 100,000 penduduk berpindah, manakala ribuan lagi melarikan diri ke Djibouti.

Situasi turut meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan laluan perkapalan penting di Laut Merah.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled menjelaskan, PBB lazimnya menghantar pasukan pengaman apabila pihak yang berkonflik bersetuju untuk mencapai kedamaian dan pasukan terbabit berperanan memastikan syarat perdamaian dipatuhi.

Menurutnya, situasi di Yaman ketika ini berbeza dengan penugasan pasukan pengaman di Lubnan kerana konflik di negara itu masih membabitkan peperangan aktif.

“Apa-apa pun keputusan Malaysia, kita berpandukan kepada keputusan yang akan dibuat pihak PBB, bukannya dilakukan secara tersendiri,” katanya.