SHAH ALAM – Yayasan Rukun Negara memandang serius sebuah pementasan yang tular di media sosial kerana kandungannya didapati secara terang-terangan mempersendakan prinsip-prinsip Rukun Negara, selain menyentuh isu sensitif membabitkan kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Ketua Lembaga Penasihat Yayasan Rukun Negara YRN), Datuk Dr. Budiman Mohd. Zohdi berkata, perbuatan sedemikian bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah berisiko menggugat keharmonian masyarakat.
Menurutnya, Rukun Negara merupakan doktrin dan falsafah kebangsaan yang lahir daripada iktibar peristiwa berdarah 13 Mei 1969.
“Rukun Negara telah diisytiharkan secara rasmi oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah, pada 31 Ogos 1970.
“Justeru, Rukun Negara tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi dijadikan sebagai bahan persendaan,” katanya dalam kenyataan media Yayasan Rukun Negara pada Sabtu.
Budiman berkata, seni pentas sememangnya boleh menjadi wadah untuk mengkritik dan mengangkat pelbagai persoalan masyarakat.
Namun katanya, kebebasan berkarya bukan lesen untuk bertindak sesuka hati tanpa batas, adab dan tanggungjawab.
“Tiada sesiapa berhak mempermainkan asas kenegaraan atau merendahkan penghormatan terhadap Rukun Negara atas nama seni,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata YRN menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Perpaduan Negara serta agensi berkaitan supaya segera menjalankan siasatan menyeluruh terhadap pementasan berkenaan.
Katanya, siasatan itu juga perlu meliputi pihak yang terlibat dalam penerbitan dan penyebaran rakaman video berkenaan.
“Sekiranya siasatan mendapati berlakunya pelanggaran undang-undang, tindakan tegas dan sewajarnya perlu diambil terhadap semua pihak yang terlibat.
“Tiada kompromi terhadap sebarang perbuatan yang menghina atau mempermainkan asas-asas yang membentuk perpaduan dan keharmonian negara,” katanya.