'Pampasan RM3,300 ringankan beban saya, keluarga' - Orang Berinsurans PERKESO

Iklan
Azrul Azuan menceritakan kejadian malang menimpa dirinya sebelum menerima FHUS di bawah Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO. - FOTO: Mohd Halim Abdul Wahid

KOTA DAMANSARA - Seorang pekerja kilang mengakui hampir 'opt-out' daripada menyertai Skim LINDUNG 24 Jam membabitkan caruman tambahan sebanyak 0.75 peratus.

Disebabkan enggan meneruskan hasrat tersebut, keputusannya ternyata memberi dampak besar apabila dia layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) di bawah skim berkenaan selepas disahkan mengalami retak pada pergelangan tangan.

Iklan
Iklan

Orang Berinsurans PERKESO, Azrul Azuan Abdullah berkata, kejadian tidak diingini itu berlaku di luar waktu bekerja pada hujung minggu, bahkan tiada kena-mengena langsung dengan pekerjaannya.

"Kejadiannya berlaku selepas saya membasuh pinggan di dapur rumah, mungkin sinki bocor dan lantai licin membuatkan saya tergelincir. Tangan kanan terlibas 'table top' sinki mengakibatkan pergelangan tangan patah.

Iklan

"Semasa menerima rawatan di hospital, saya didatangi seorang pegawai PERKESO dan beliau yang terangkan pada saya tentang Skim LINDUNG 24 Jam.

"Beliau beri borang tuntutan dan minta saya hantar sendiri permohonan, dalam seminggu sahaja permohonan lulus dan saya terima pampasan sebanyak RM3,300. Alhamdulillah ia amat meringankan beban saya dan keluarga dalam tempoh terima cuti sakit selama 60 hari," katanya.

Iklan

Azrul Azuan berkongsi kisahnya ketika siaran langsung edisi ke-489 Wacana Rakyat Sinar Harian bertajuk 'Kerja 8 Jam, Risiko 24 Jam' bertempat di Strand Mall, di sini pada Sabtu.

Tambah pemuda tersebut, dia dilindungi skim berkenaan pada penghujung Julai ketika kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan PERKESO melaksanakan mandatori caruman menerusi potongan gaji bulanan sebelum menukarkannya kepada pilihan sukarela.

"Semasa saya isi borang, ada satu kes yang membuatkan saya tersentak di mana individu terbabit dah batal Skim LINDUNG 24 Jam, kebetulan selepas itu alami kemalangan.

"Bila cuba nak buat tuntutan, tak dapat. Nasihat saya, janganlah 'opt-out' daripada skim ini," jelasnya.

Mengulas lanjut tentang keberadaan pegawai PERKESO di hospital, Timbalan Ketua Eksekutif (Strategi dan Korporat) PERKESO, Edmund Cheong Peck Huang memaklumkan ia antara inisiatif penambahbaikan badan perlindungan itu.

Beliau memberitahu, PERKESO meletakkan sistem tersebut di setiap unit kecemasan hospital kerajaan.

Setiap kali berlaku kemalangan serius, kata Edmund, sudah menjadi tanggungjawab doktor atau jururawat di unit kecemasan itu untuk menyemak nama dan nombor siri keselamatan sosial pekerja di dalam sistem PERKESO.

"Kalau pekerja tersebut layak, doktor secara automatik memohon surat jaminan (GL) untuk perhatian lanjut PERKESO," ujarnya.