KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) digesa memperjelaskan proses dan syarat ditetapkan bagi pengendalian kargo petroleum, susulan persoalan berhubung kemungkinan pencampuran kargo dengan inventori sedia ada dalam tangki simpanan darat.
Pakar industri maritim, Datuk Seri R Jeyenderan berkata, penjelasan itu penting bagi memastikan tatacara, syarat dan dokumentasi yang perlu dipatuhi dalam pengendalian dua kargo petroleum bernilai lebih RM220 juta yang dipunggah di Tanjung Langsat, Johor.
Beliau berkata, kedua-dua kargo berkenaan membabitkan 76,954.325 tan metrik Atlanta Crude yang diisytiharkan di bawah prosedur Kastam K8.
Menurutnya, JKDM perlu memperincikan sama ada pencampuran atau pengisaran kargo berkenaan dengan petroleum sedia ada dibenarkan, termasuk syarat dan rekod yang perlu disediakan sekiranya ia dibenarkan.
"Jika pencampuran atau pengisaran dibenarkan, Kastam perlu menyatakan dengan jelas asas, syarat dan dokumentasi yang diperlukan.
"Jika tidak dibenarkan, industri juga perlu dimaklumkan mengenai prosedur yang perlu dipatuhi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan, berdasarkan laporan Maritime Network, kargo pertama seberat 34,903.062 tan metrik dibawa kapal MT Marlin Santorini pada Januari, manakala kargo kedua seberat 42,051.263 tan metrik dibawa MT Invictus pada Mac.
Beberapa tangki simpanan di DIALOG Terminals Langsat turut dikenal pasti dalam laporan berkenaan.
Jeyenderan berkata, antara perkara yang perlu diperjelaskan ialah kaedah kebolehkesanan kargo selepas dimasukkan ke dalam tangki yang turut mengandungi inventori sedia ada.
Katanya, perkara itu termasuk kaedah merekodkan pergerakan, pencampuran atau pengisaran produk bagi membolehkan keseluruhan rantaian dokumentasi disemak.
"Rekod berkaitan jumlah kargo yang dimasukkan, inventori sedia ada, pergerakan produk, keputusan makmal serta kuantiti yang dikeluarkan atau dipindahkan perlu tersedia bagi memastikan ketelusan pengendalian kargo," katanya.
Beliau menegaskan, permintaan penjelasan itu bukan satu dakwaan bahawa pencampuran dilakukan secara tidak sah, sebaliknya sebarang penentuan perlu dibuat berdasarkan rekod dan bukti.
"Kami hanya meminta penjelasan, bukan sebarang keputusan tertentu.
"Dalam soal ini, jika pihak berkuasa menyatakan prosedur itu mematuhi peraturan, perkara itu perlu dinyatakan dengan jelas dan jika terdapat keperluan tambahan, ia juga perlu dikenal pasti," katanya.