KOTA TINGGI - Keputusan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak wajar dijadikan ‘bola tanggung’ politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan berkenaan perlu difahami sebagai pengampunan bersyarat dan bukannya pengampunan penuh.
"Soal pengampunan ini bukan perkara baharu, banyak kes pengampunan telah dilakukan sama ada kes seseorang dihukum mati, dihukum penjara seumur hidup dan sebagainya.
"Tidak wajar mana-mana pihak dipertikaikan kerana merupakan kuasa serta hak mutlak Yang di-Pertuan Agong.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Dewan Besar Felda Air Tawar 2, dekat sini pada Ahad.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pengampunan bersyarat terhadap Najib Razak memberi 'bola tanggung' kepada Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Jelas Hassan lagi, dari segi politik, Najib kini betul-betul menjadi beban kepada UMNO dan juga Pas.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan isu pengampunan Najib tidak mempunyai kaitan dengan soal pilihan raya atau usaha penyatuan orang Melayu kerana kedua-duanya merupakan perkara berbeza.
Katanya, isu penyatuan Melayu perlu dilihat dari sudut kedudukan dan kuasa politik orang Melayu yang didakwa semakin terhakis akibat perpecahan antara parti politik Melayu.
“Soal pilihan raya itu soal lain. Itu soal penyatuan Melayu. Itu soal orang Melayu merasakan bahawa walaupun banyak parti politik Melayu, kuasa politik Melayu semakin melemah.
“Tiada kena-mengena dengan soal ini. Ini soal Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan untuk Datuk Seri Najib dipenjarakan di rumah,” katanya.
Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat ditetapkan.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.