AEI Capital teroka kerjasama RM60 juta dengan UMK

Iklan
Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan melakukan tee-off dan seterusnya merasmikan Kejohanan Golf Amal UMK 2026 yang diadakan pada Sabtu. - FOTO: ROSLI TALIB

GENTING HIGHLANDS – AEI Capital Group meneroka potensi kerjasama strategik jangka panjang bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Yayasan Sayang Malaysia yang dianggarkan bernilai RM60 juta.

Presiden AEI Capital Group, John Tan berkata, daripada jumlah tersebut, RM10 juta untuk dana kebajikan pelajar UMK menerusi Yayasan Sayang Malaysia bagi tempoh 10 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peruntukan itu antaranya melibatkan Biasiswa AEI untuk pelajar prasiswazah UMK berprestasi Kelas Pertama, Anugerah Kecemerlangan Akademik AEI-UMK, program latihan industri, pementoran, pembangunan kepimpinan serta pembangunan kerjaya.

“Manakala RM50 juta lagi dicadangkan sebagai potensi modal pertumbuhan bagi syarikat peringkat pertumbuhan yang diasaskan alumni UMK melalui cadangan AEI-UMK Growth Capital Initiative.

Iklan

“Inisiatif itu bertujuan membuka akses kepada modal pertumbuhan selain jaringan industri, pelabur dan rakan strategik bagi membantu syarikat alumni mengembangkan operasi, pasaran, teknologi, kapasiti serta pengantarabangsaan,” katanya kepada pemberita selepas selesai Kejohanan Golf Amal UMK 2026 di sini pada Sabtu.

JOHN TAN

Iklan

Program yang julung kali dianjurkan itu menerima tajaan utama daripada AEI Capital Group selain tajaan korporat Agrobank dan DXN Berhad, sekali gus memperlihatkan penglibatan sektor korporat dalam menyokong agenda kebajikan serta pembangunan pelajar UMK.

Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra turut berkenan berangkat merasmi dan menyertai kejohanan amal berkenaan.

Baginda yang juga Pro-Canselor UMK dan Penaung Golf Amal UMK 2026 turut berkenan melakukan pukulan mula (tee-off) pada jam 8.30 pagi.

Seramai 60 peserta terdiri daripada wakil industri, alumni, pengurusan tertinggi universiti dan rakan strategik UMK menyertai program berkenaan.

Turut hadir, Yang Menjalankan Fungsi Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff; Naib Canselor UMK, Datuk Profesor Dr Arham Abdullah; serta Pengerusi dan Pemegang Amanah Yayasan Sayang Malaysia, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim.

John berkata, AEI Capital Group yang merupakan kumpulan pelaburan berpangkalan di Asia dengan fokus global percaya pihaknya mampu membantu UMK merealisasikan agenda strategiknya sebagai universiti yang memberi fokus utama kepada bidang keusahawanan.

Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan menyaksikan penyampaian serahan sumbangan dari John Tan (kiri) kepada Dr Suhaimi (dua, kanan) pada Kejohanan Golf Amal UMK 2026 yang diadakan pada Sabtu.

Beliau berkata, AEI Capital Group yang diasaskannya 12 tahun lalu bermula dengan aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah AS$5 juta (kira-kira RM20.4 juta), sebelum berkembang kepada lebih AS$9 bilion (kira-kira RM36.7 bilion) AUM ketika ini.

“Ini semua kerana bukan sahaja pertumbuhan kumpulan pelaburan kami, tetapi juga pertumbuhan bersama syarikat yang kami laburkan di seluruh Asia.

“Kami tahu apa maksud pertumbuhan kerana kami ialah firma modal pertumbuhan yang boleh memberikan sokongan yang hebat dan strategik,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan peruntukan RM50 juta itu, John berkata, pihaknya berharap dapat membantu syarikat pemula UMK yang sudah berada pada peringkat pembangunan untuk berkembang ke tahap lebih jauh.

“Kami berharap dapat membawa syarikat pemula UMK yang sudah berada pada tahap pembangunan untuk pergi lebih jauh dan membangunkan lebih banyak syarikat yang dibangunkan oleh UMK,” katanya.

John Tan (tengah) menyerahkan sumbangan kepada Profesor Dr Arham (kiri) dan Dr Suhaimi (kanan) pada Kejohanan Golf Amal UMK 2026 yang diadakan pada Sabtu.

Menurutnya, pengalaman AEI Capital Group di seluruh Asia juga boleh dimanfaatkan bagi membantu usahawan membangunkan syarikat berteraskan model perniagaan inovatif serta mempunyai pandangan global.

Katanya, kerjasama itu turut dilihat mampu menyokong agenda strategik negara dalam melahirkan lebih ramai usahawan berjaya yang berupaya menembusi pasaran serantau dan global.

John berkata, penyertaan AEI Capital Group sebagai penaja platinum Program Golf Amal UMK 2026 menjadi titik permulaan kepada hubungan jangka panjang antara kedua-dua pihak.

“Selepas acara ini, kami akan melawat UMK untuk mengadakan perbincangan lebih mendalam mengenai pelaksanaan agenda strategik ini.

“Ini ialah golf amal pertama bagi UMK, jadi inilah permulaan kepada hubungan yang panjang,” katanya.

Sementara itu, Arham berkata, penganjuran Golf Amal UMK 2026 menjadi platform untuk memperkukuh jaringan strategik antara UMK, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat dalam menyokong kebajikan serta pembangunan pelajar.

Katanya, UMK turut menyatakan hasrat untuk meneruskan penganjuran program golf amal itu pada tahun hadapan susulan sambutan menggalakkan daripada pihak industri.

Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berkenan bergambar bersama penaja dan peserta program.