ASAS x PPZ-MAIWP erat komuniti kewangan Islam

Iklan
Mohd Nizam (tengah) bersama pemenang bagi kategori lelaki.

PENGANJURAN Kejohanan Badminton ASAS x PPZ-MAIWP 2026 menjadi platform bagi menggalakkan gaya hidup sihat selain mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti kewangan Islam.

Program anjuran Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Persatuan Penasihat Syariah dalam Kewangan Islam Malaysia (ASAS) itu berlangsung di The Hood, Jalan Ipoh pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Seramai 72 peserta menyertai kejohanan berkenaan yang membabitkan ahli ASAS, pemain industri daripada institusi perbankan dan kewangan Islam serta rakan strategik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, penganjuran program berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada warga industri untuk beriadah, malah membuka peluang membina hubungan dan jaringan profesional dalam suasana lebih santai.

Iklan

Mohd Nizam bersama juara kategori wanita.

"Dalam kesibukan kita melaksanakan tanggungjawab dan amanah di organisasi masing-masing, ruang seperti ini memberi kita kesempatan untuk berehat seketika daripada rutin harian, beriadah dan berinteraksi dalam suasana yang lebih santai.

Iklan

"Saya melihat penyertaan yang diterima pada hari ini sebagai satu perkembangan yang amat baik dan mudah-mudahan penganjuran ini dapat diteruskan serta diperluaskan pada masa akan datang," katanya.

Antara institusi dan organisasi yang mengambil bahagian termasuk SME Bank, Bank Negara Malaysia, Bank Simpanan Nasional, Amanah Raya Trustees Berhad, Takaful Malaysia, Maybank Islamic, Co-opbank Pertama dan Universiti Putra Malaysia.

Aksi sengit sepanjang kejohanan menyaksikan Smash Kencang dinobatkan sebagai juara kategori lelaki, diikuti Shuttle Titan di tempat kedua manakala Falafel melengkapkan kelompok tiga terbaik.

Dalam kategori wanita pula, Ministry of Religious Affairs tampil unggul untuk bergelar juara, manakala Ikhlas Smashers (Takaful Ikhlas) meraih tempat kedua dan D'She Smashers (Maybank Islamic) menduduki tempat ketiga.

Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai dan trofi bagi kategori lelaki dan wanita dengan juara menerima RM1,200, diikuti naib juara RM900 dan tempat ketiga RM600.

Sesi penyampaian hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ- MAIWP, Mohammed Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif ASAS, Makhtar Abdullah.

Selain pertandingan badminton secara berkumpulan, program itu turut diserikan dengan PPZ-MAIWP Zakat Awareness Corner yang menyediakan perkongsian, kuiz berkaitan zakat serta aktiviti interaktif bersama peserta.

Inisiatif berkenaan memberi peluang kepada peserta mendapatkan maklumat berkaitan kewajipan zakat selain memahami peranan dan perkhidmatan yang disediakan PPZ-MAIWP kepada masyarakat.