Isu Felda: SPRM rekod keterangan Isa Samad di Penjara Sungai Buloh

Iklan
Mohd Isa

KAJANG - Keterangan bekas Pengerusi Felda, Datuk Mohd Isa Abdul Samad telah direkodkan selama dua hari di Penjara Sungai Buloh bermula Khamis lalu.

Rakaman percakapan itu dibuat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan pelaburan serta perolehan aset oleh pengurusan Felda dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) bagi tempoh 2010 hingga 2020 yang mengakibatkan kerugian berpunca daripada pembelian aset melampaui nilai penilaian sebenar.

Iklan
Iklan

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, keterangan Mohd Isa akan disambung tiga hingga empat hari lagi.

"Keterangan beliau sudah dirakam dua hari penuh dan kemungkinan selesai Khamis (depan)," katanya kepada pemberita pada Program Menembak SPRM Bersama Media di Penjara Kajang di sini, Sabtu.

Iklan

Abd Halim (tengah) bergambar bersama petugas media dalam Program Menembak SPRM Bersama Media di Penjara Kajang pada Sabtu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Penjara Malaysia atas kerjasama yang diberikan bagi kelancaran sepanjang proses rakaman percakapan itu dilaksanakan.

Iklan

Dalam perkembangan sama, Abd Halim berkata, sebanyak enam kertas siasatan dibuka termasuk satu kertas siasatan dalam tindakan siasatan.

Antara perkara yang disiasat membabitkan perolehan pembelian Syarikat Dataran Aras Sdn Bhd, pengambilalihan Grand Borneo Hotel Sdn Bhd, pembelian Grand Plaza Serviced Apartments di London serta penubuhan Felda Wellness Corporation Sdn Bhd.

"Selebihnya ialah pengambilalihan Felda House dan Grand Felda House, penyelewengan pembangunan Projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) serta pembelian aset Park City Grand Plaza Hotel di Kensington, London (kertas siasatan lama)," katanya.

Pada 2 September lalu, Abd Halim dilaporkan berkata, seramai 12 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan berkaitan kes Felda.

Susulan itu, SPRM membuka tujuh kertas siasatan menerusi operasi khas berskala besar dikenali sebagai Op Fella.