Geram isu anjing tidak ditangani, lelaki lepaskan anak anjing atas meja pegawai

Iklan
Seekor anjing dilepaskan di atas meja ketua pegawai sebagai simbolik membantah masalah anjing liar di daerah Nashik, Maharashtra. Foto: PTI

NEW DELHI– Bantahan terhadap masalah anjing di daerah Nashik, Maharashtra bertukar luar biasa apabila sekumpulan lelaki membawa dua anak anjing ke sebuah pejabat pihak berkuasa tempatan sebelum melepaskannya di atas meja seorang pegawai.

Rakaman kejadian pada Rabu yang tular menunjukkan pegawai sayap pemuda Shiv Sena (UBT), Vikram Randhave mengeluarkan dua anak anjing daripada guni sebelum meletakkannya di atas meja Ketua Pegawai Niphad Nagar Panchayat, Dheeraj Bhamre.

Iklan
Iklan

Bhamre bagaimanapun memaklumkan bahawa pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan tender bagi menangani masalah tersebut.

Randhave memberi amaran bahawa lebih banyak anjing akan dibawa ke pejabat berkenaan sekiranya tindakan tidak diambil, selain bercadang membawa kanak-kanak dan wanita yang terjejas akibat masalah itu.

Iklan

Beliau turut meletakkan kalungan diperbuat daripada wang di meja pegawai terbabit sebagai simbolik membantah cara pihak berkuasa menangani isu tersebut.

Randhave mendakwa lebih 400 anjing liar berkeliaran dalam kawasan pentadbiran Niphad Nagar Panchayat, manakala lebih 100 penduduk mengalami kecederaan akibat gigitan anjing setiap bulan.

Iklan

Menurutnya, masalah itu turut mengancam keselamatan kanak-kanak, warga emas dan penunggang motosikal.

Polis Niphad kemudian membuka kes terhadap Randhave dan beberapa individu lain kerana didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Satu lagi kes turut didaftarkan berhubung cara anak anjing berkenaan dikendalikan termasuk tindakan memasukkannya ke dalam guni.

Setakat laporan dikeluarkan, tiada tangkapan dibuat. – Agensi