GEORGE TOWN – Festival Citra Mutiara 2026 mencapai sasaran kehadiran dengan 50,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya di Lebuh Armenian, di sini sekali gus menjadi platform mengetengahkan kepelbagaian seni, budaya dan warisan Pulau Pinang.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata, penganjuran program pelancongan budaya edisi kelapan itu merupakan antara inisiatif jabatan dalam menyokong usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurutnya, sebanyak 15 program pelancongan budaya dirancang sepanjang tahun ini termasuk tujuh lagi program yang akan dilaksanakan selepas Festival Citra Mutiara sehingga Disember.
“Usaha untuk menyerlahkan elemen seni budaya negeri Pulau Pinang bukan sahaja penting bagi memartabatkan warisan tempatan malah memastikan generasi muda mempunyai rasa minat dan cinta terhadap seni budaya serta terpanggil untuk memastikan kelangsungannya diwarisi.
“Jabatan masih mempunyai tujuh lagi program pelancongan budaya selepas ini bagi memastikan pengisian sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 dapat dilaksanakan sebaik mungkin sehingga Disember,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Festival Citra Mutiara 2026 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Turut hadir Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff dan beberapa pimpinan kerajaan negeri serta pegawai kanan kerajaan.
Mengulas mengenai peruntukan, Mohd Amran berkata, kira-kira RM300,000 diperuntukkan bagi penganjuran festival berkenaan selain mendapat sokongan dan tajaan daripada pelbagai pihak.
“Peruntukan tidak banyak sebenarnya, lebih kurang RM300,000 tetapi kita mendapat sokongan dan tajaan daripada kerajaan negeri, syarikat swasta serta agensi kerajaan.
“Ini menunjukkan usaha memartabatkan seni budaya adalah tanggungjawab bersama,” ujarnya lagi.
JKKN tekad jadikan Festival Citra Mutiara acara tahunan
Mohd Amran berkata, JKKN turut berhasrat menjadikan Festival Citra Mutiara sebagai acara tahunan yang dapat mengisi kalendar pelancongan Pulau Pinang pada masa akan datang.
Tambahnya, setiap negeri mempunyai identiti dan nama festival tersendiri berdasarkan elemen tradisi serta seni budaya yang menjadi keunikan negeri masing-masing.
“Di Pulau Pinang kita namakan sebagai Festival Citra Mutiara manakala di Perlis ada Pesta Angin Timur dan di Kedah pula Temasya Orang Kedah.
“Festival Citra Mutiara pula menyerlahkan kepelbagaian kaum yang terdapat di Pulau Pinang termasuk elemen Boria, Chetti, Joghee, masyarakat Cina dan India yang turut menyumbang kepada pembangunan seni budaya negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan Lebuh Armenian sebagai lokasi festival juga amat strategik kerana kawasan berkenaan merupakan antara tumpuan pelancong dan terletak dalam George Town, Tapak Warisan Dunia UNESCO.
“Kita bukan sahaja dapat mempopularkan kesenian kepada masyarakat tempatan malah kepada pelancong yang sentiasa ada di Lebuh Armenian.
“Ini merupakan pemilihan lokasi yang sangat strategik untuk kita menyerlahkan seni budaya Malaysia,” katanya.
Festival Citra Mutiara 2026 dengan tema ‘Jom Pi Gheyuh di Pulau Pinang, Surrrrr!' yang berlangsung dari 11 hingga 13 September itu mengetengahkan pelbagai aktiviti termasuk Perarakan Budaya Citra Mutiara membabitkan kira-kira 200 peserta.
Turut dianjurkan Pertandingan Boria Kategori Cilik dan Terbuka, Pertandingan Peragaan Busana Boria Cilik, Pertandingan Mewarna Keluarga, Sepak Raga Ratus, Diabolo dan Kolam selain Sembang Santai Anak Seni, persembahan kesenian, pameran serta demonstrasi seni budaya.
Festival berkenaan merupakan penjenamaan semula daripada Festival Balik Pulau yang telah dilaksanakan sejak 2019, dengan pengisian kali ini memberi tumpuan kepada kepelbagaian warisan dan identiti budaya Pulau Pinang.
Festival satukan budaya, cipta kenangan bermakna
Sementara itu, pelancong dari Australia, Bronte Nelson, 27 berkata, festival berkenaan membolehkannya mengenali keunikan budaya, makanan dan tarikan yang terdapat di Pulau Pinang.
"Saya sangat teruja dapat berkunjung ke Festival Citra Mutiara. Penganjuran festival seperti ini merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna kerana dapat melihat sendiri kepelbagaian budaya dan kreativiti masyarakat tempatan.
"Persembahan serta aktiviti yang disediakan menjadikan kunjungan saya lebih menyeronokkan dan memberi gambaran yang lebih dekat mengenai identiti Pulau Pinang," katanya.
Menurut seorang eksekutif jualan, Tan Beng Tat, 53, Festival Citra Mutiara merupakan program yang sangat baik kerana menghimpunkan pelbagai kaum dan budaya dalam satu acara yang benar-benar mencerminkan kepelbagaian Malaysia.
Katanya, konsep menggabungkan pelbagai elemen budaya dalam satu festival menjadikan program itu unik dan menarik untuk dikunjungi.
“Ini memang betul-betul satu Malaysia kerana semua budaya bercampur dan kita dapat lihat keunikan setiap kaum.
"Program seperti ini perlu diadakan setiap tahun supaya pelancong berpeluang mengenali dan melihat sendiri kepelbagaian budaya kita kerana perkara sebegini tidak dapat disaksikan pada hari-hari biasa,” katanya.
Dalam pada itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Mertajam, G Manishaa Srii, 14 berkata, Festival Citra Mutiara memberikan pengalaman menarik kerana menampilkan pelbagai jenis tarian dan budaya dalam satu program.
Katanya, persembahan yang diketengahkan memberi peluang kepada pengunjung khususnya generasi muda untuk mengenali kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia.
Sementara itu, kakitangan kerajaan, Azizah Tarmeze, 38 menyifatkan festival berkenaan sangat menarik kerana mengimbas kembali identiti Pulau Pinang sebagai Pulau Mutiara selain memperlihatkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum menerusi persembahan budaya dan agama.
Katanya, program itu wajar diadakan setiap tahun kerana bukan sahaja mengeratkan hubungan masyarakat malah memberi peluang kepada pengunjung berinteraksi dengan pelancong luar.
"Memang sangat best dan saya teruja. Saya datang (ke festival) selama dua hari kerana banyak perkara menarik yang boleh dilihat dan dinikmati,” katanya.