Kes Najib: CEC mesyuarat esok bincang pendirian, tindakan susulan DAP

Iklan
Anthony Loke Foto: Fail/Bernama

SHAH ALAM- Satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan diadakan pada Sabtu bagi membincang, memutuskan pendirian dan tindakan susulan parti berhubung tahanan di rumah membabitkan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, DAP sentiasa menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan Keluhuran Perlembagaan, di samping mempertahankan kedaulatan undang-undang serta perjuangan menentang rasuah.

"Skandal penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan skandal rasuah yang terbesar dalam sejarah negara.

Iklan

"Skandal ini telah mengaitkan nama Malaysia dengan kleptokrasi di mata dunia, mencemarkan imej negara dan menghakis kepercayaan rakyat serta pelabur terhadap institusi pentadbiran negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Iklan

Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan pada Jumaat.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada Najib membayar denda RM50 juta.

Mengulas lanjut, Loke berkata, sabitan terhadap Najib dalam kes melibatkan 1MDB merupakan kesalahan yang telah diputuskan oleh mahkamah serta kesannya terhadap negara tidak boleh dilupakan.

Menurutnya, kesan kewangan penyelewengan tersebut masih ditanggung oleh negara dan rakyat sehingga hari ini.

"Menurut kenyataan Kementerian Kewangan pada 13 September 2026, keseluruhan obligasi 1MDB yang ditanggung kerajaan berjumlah RM51.4 bilion, merangkumi RM42.5 bilion yang telah dibayar oleh kerajaan serta baki hutang RM8.9 bilion.

"DAP sejak awal konsisten menuntut keadilan dan akauntabiliti dalam skandal 1MDB. Kami memperjuangkan supaya penyelewengan ini disiasat secara menyeluruh dan mereka yang bertanggungjawab dibawa untuk melalui proses undang-undang yang bebas dan adil.

"Kami juga tidak melupakan bahawa kemarahan rakyat terhadap skandal 1MDB merupakan antara faktor utama yang membawa kepada perubahan kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018," katanya.

Beliau berkata, amanah rakyat untuk menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan terus menjadi pegangan DAP.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh telah menyampaikan pendirian dan pandangan yang selaras dengan prinsip perjuangan DAP ketika menjalankan tanggungjawab beliau sebagai anggota Lembaga Pengampunan.

"Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh beliau, pandangan tersebut disampaikan secara jujur dan berterus terang demi kepentingan negara.

"Sehubungan itu, satu mesyuarat CEC DAP akan diadakan esok untuk membincang dan memutuskan pendirian serta tindakan susulan parti," katanya.