UMNO Pahang zahir kesyukuran, junjung kasih atas pengampunan bersyarat buat Najib

Iklan
Wan Rosdy

KUANTAN- Keputusan Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan bersyarat ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak disambut dengan penuh kesyukuran seluruh keluarga besar UMNO Pahang.

Pengerusinya,Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas limpah perkenan Seri Paduka Baginda dalam perkara itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, UMNO Pahang turut menjunjung kasih kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah atas segala doa, keprihatinan dan usaha baginda sebelum ini berhubung perkara tersebut.

"Perkembangan ini membawa kelegaan yang amat besar kepada Datuk Seri Najib dan keluarga serta seluruh keluarga besar UMNO Pahang.

Iklan

"Justeru itu, UMNO Pahang juga menyokong inisiatif Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melancarkan tabung sumbangan bagi membantu melunaskan denda RM50 juta dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri itu," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Iklan

Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan pada Jumaat.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada Najib membayar denda RM50 juta.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, UMNO Pahang akan turut menyumbang kepada tabung berkenaan sebagai tanda kebersamaan dan solidariti terhadap inisiatif yang diumumkan oleh Presiden UMNO.

Beliau berkata, pada masa yang sama, UMNO Pahang turut mengalu-alukan ahli-ahli UMNO di negeri ini yang berhasrat untuk turut menyumbang agar dapat berbuat demikian secara sukarela dan seikhlas hati melalui UMNO Bahagian masing-masing.

"Segala urusan kutipan dan penyaluran sumbangan hendaklah dilaksanakan secara telus, teratur serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

"Saya menyeru seluruh kepimpinan dan ahli UMNO Pahang agar menyambut perkembangan ini dengan penuh kesyukuran, sentiasa menjaga adab dalam setiap ungkapan serta menghormati segala prosesyang ditetapkan," katanya.