Polis kenal pasti tiga lelaki larikan diri selepas kemalangan maut

Iklan
Azry ketika ditemui media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Jumaat.

KUANTAN - Bimbang ditangkap kerana terlibat dalam aktiviti jenayah disyaki punca pemandu dan dua penumpang sebuah kereta melarikan diri selepas terbabit kemalangan mengorbankan nyawa penunggang motosikal berkuasa tinggi di Jalan Mempaga-Sertik, Bentong,Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, identiti ketiga-tiga lelaki berusia 20 hingga 30-an yang masih bebas itu itu bagaimanapun telah dikenal pasti.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semakan mendapati suspek terlibat dalam aktiviti jenayah termasuk curi kenderaan.

"Identiti suspek dikenal pasti berdasarkan keterangan pemilik kereta yang ditahan reman sebelum ini bagi membantu siasatan.

Iklan

"Pemilik kereta berusia dalam lingkungan 30-an itu mendakwa telah menyewa kenderaan tersebut kepada suspek yang dipercayai rakannya," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Jumaat.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.30 pagi Isnin lalu, seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi, Fazlizal Abdul Samad, 41 maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Mempaga-Sertik, di sini.

Iklan

Dalam nahas itu, pemandu kenderaan utiliti sukan jenis Honda HR-V berusia 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemandu dan dua penumpang Perodua Myvi bagaimanapun dipercayai telah meninggalkan kenderaan tersebut dan melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.

Azry berkata, polis percaya suspek bertindak melarikan diri kerana bimbang kegiatan jenayah mereka terbongkar.

"Polis percaya suspek akan dikesan dan ditangkap dalam masa terdekat.

"Pemilik kereta dijangka dituduh di mahkamah esok atas kesalahan mengambil dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1953," katanya.