[VIDEO] Penganggur tidak mengaku khianat dengan api, rosakkan BMW

Iklan

GEORGE TOWN- Seorang lelaki dihadapkan ke mahkamah di atas pertuduhan melakukan khianat dengan api di Air Itam di sini pada Ogos lalu.

Tertuduh, Ho Kun Quan, 22 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Irwan Suainbon di Mahkamah Sesyen 2 di sini pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api dengan maksud hendak menyebabkan kerosakan kepada sebuah kenderaan jenis BMW bewarna perak milik seorang wanita berusia 61 tahun.

Dia yang belum berkahwin dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Taman Ru, Air Itam pada jam 3.51 pagi, 8 Ogos lalu.

Iklan

Tertuduh mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan khianat dengan api ke atas sebuah kenderaan jenis BMW.

Oleh yang demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini menawarkan jaminan RM25,000 dengan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis terdekat pada 1 haribulan setiap bulan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar wang jaminan dikurangkan kerana mengalami masalah kewangan berikutan tidak mempunyai pekerjaan.

"Saya mohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana saya dan keluarga tidak berkemampuan.

"Saya dan ibu tidak mempunyai pekerjaan manakala bapa bekerja biasa dengan pendapatan tidak tetap. Hari ini, ibu bapa saya hadir untuk menjamin saya," katanya.

Irwan kemudiannya menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Kes ditangguh sehingga 22 Oktober depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.