Cuba curi dompet dalam pesawat, lelaki warga China ditahan

Iklan
Kejadian berlaku ketika penerbangan apabila mangsa melihat seorang lelaki mengambil beg miliknya dari ruang simpanan atas tempat duduk penumpang. - Gambar hiasan

BALIK PULAU – Polis menahan seorang lelaki warga China berusia 55 tahun selepas disyaki cuba mencuri dompet milik seorang penumpang ketika dalam penerbangan dari Jakarta, Indonesia ke Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga Indonesia berusia 36 tahun berhubung kejadian itu pada Khamis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian berlaku ketika penerbangan apabila mangsa melihat seorang lelaki mengambil beg miliknya dari ruang simpanan di bahagian atas tempat duduk penumpang. 

“Pengadu sempat merakam kejadian tersebut sebelum memaklumkannya kepada kru pesawat,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Iklan

Susulan itu, Anuwal berkata, polis menjalankan siasatan sebelum menahan lelaki warga China berkenaan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, tiada kehilangan atau kerugian dilaporkan dalam kejadian itu apabila semua barangan milik pengadu berjaya diperoleh semula.

Iklan

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan siasatan kes,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan memastikan barangan peribadi berada dalam keadaan selamat, khususnya ketika menggunakan pengangkutan awam.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.