Malaysia tawar aset, pegawai, anggota kepada Indonesia tangani kebakaran

Iklan
Ahmad Zahid (kiri) mengadakan pertemuan dengan Gibran di Istana Wakil Presiden. Foto Bernama

JAKARTA - Malaysia menawarkan aset dan pegawai serta anggota secara rasmi kepada Indonesia bagi membantu negara itu menangani kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu khususnya di Sarawak.

Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan memperincikan aset berkenaan antaranya sebuah pesawat Bombardier, tiga helikopter, 52 pegawai dan anggota.

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan itu dikemukakan kepada Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka untuk disampaikan kepada Presiden negara berkenaan, Prabowo Subianto.

"Ia bagi membolehkan Malaysia membantu usaha memadam kebakaran dengan menyiram air di kawasan terbakar, tertakluk kepada keizinan Indonesia," katanya pada Sidang Media selepas menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Indonesia - Malaysia Mengenai Kerjasama di Bidang Pengembangan Perdesaan pada Khamis.

Iklan

Katanya, Malaysia sangat prihatin terhadap isu kebakaran kerana ia berlaku setiap tahun sama ada pembakaran secara terbuka di Kalimantan atau Sumatera dan jerebu itu datang ke Malaysia.

“Kami mahu membantu Indonesia untuk sama-sama menangani masalah ini," ujarnya.

Iklan

Ahmad Zahid berkata, 52 pegawai dan anggota yang disediakan terdiri daripada agensi pengurusan bencana termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, Malaysia tidak berniat mencampuri urusan Indonesia, sebaliknya sebagai langkah membantu menangani masalah jerebu yang merentas sempadan.

“Kami tidak berhasrat untuk campur dalam hal ehwal Indonesia tetapi kami berhasrat untuk membantu supaya masalah jerebu yang datang ke Sarawak khususnya itu dapat diselesaikan dengan segera.

“Pada masa sama kita akan terus membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia melalui langkah-langkah hubungan diplomatik yang khusus kerana masalah ini berlaku setiap tahun,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua negara juga perlu mengelakkan sebarang tindakan saling menyalahkan sebaliknya memberi tumpuan kepada penyelesaian.

“Apa yang penting adalah kita menyelesaikan masalah ini sebelum ia berlaku setiap tahun. Ertinya perancangan untuk melakukan supaya ia tidak berlaku," katanya lagi.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia turut mempunyai hubungan kerjasama rapat dengan pasukan pengurusan bencana Indonesia menerusi pertemuan, latihan bersama serta penglibatan dalam usaha pengurusan bencana serantau.

Beliau berkata, perkara itu selaras dengan lawatan beliau ke ASEAN Centre of Disaster Management di Jakarta sebelum ini.

“Jadi kami sering mengadakan pertemuan dan mengadakan kerjasama dan latihan bersama,” katanya.