Bot dinaiki tujuh pemancing bocor dilambung ombak - Keluarga mangsa

Iklan
Khairul (berdiri, kanan) ketika ditemui di di Pos Pangkalan Hadapan Jeti Sementa Kapar di sini pada Khamis.

KLANG – Bot dinaiki tujuh pemancing termasuk seorang tekong yang dilaporkan hilang di perairan berhampiran One Fathom Bank atau Permatang Sedepa di sini pada Ahad lalu dipercayai bocor selepas dilambung ombak besar.

Perkara itu dimaklumkan Khairul Muhidin, 47, yang mengetahui kejadian berkenaan daripada isteri anak saudaranya, Mohd Rizal Mohamad Sadali, 45, yang terselamat dalam insiden pada Ahad lalu.

Iklan
Iklan

Khairul berkata, semasa kejadian, bot dinaiki tujuh mangsa itu dalam perjalanan pulang ke Jeti Sementa sebelum terpaksa berlindung di sebuah rumah api di One Fathom Bank selepas mengalami kebocoran.

ARTIKEL BERKAITAN: Bot karam: Dua pemancing mungkin hilang sampai Lumut - Maritim Malaysia

Iklan

SAR pemancing hilang: Sektor pencarian laut diperluas

‘Berdasarkan bentuk badan, pakaian itu memang arwah Shahril’

Iklan

Mayat pemancing ditemui terapung disahkan Mohd Shahril

Tiga anak saudara Khairul yang berada di bot tersebut ialah Mohd Rizal, Muhd Hamiszar Punirain, 45, serta Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37.

Khairul berkata, bot itu didakwa hanyut hingga ke laluan kapal sebelum dilanggar dan semua mangsa tercampak ke laut.

“Lima orang sempat berpaut bersama-sama termasuk seorang lagi yang sudah meninggal dunia dipercayai mengalami kecederaan di kepala,” katanya.

Dua lagi iaitu Muhammad Ridzuan dan Raja Mohd Rozi Raja Mohamud hanyut dibawa arus laut dan masih belum ditemui sehingga kini.

Khairul berkata, sepanjang tempoh tersebut tiada sebarang bot melalui kawasan berkenaan, manakala jarak antara lokasi kejadian dengan Jeti Sementa dianggarkan kira-kira 43 kilometer.

"Keadaan itu menyebabkan mangsa terpaksa bertahan di laut sehingga sebuah bot nelayan tiba dan membantu mereka," katanya.

Pada Ahad lalu, Muhammad Ridzuan bersama enam sekawan iaitu Mohd Shairazi Abdul Aziz, Muhd Hamiszar, Mohd Rizal, Mohd Shahril Abd Rahman, Zulfilkalnain dan Raja Mohd Rozi keluar memancing bagi mencari ikan cencaru.

Mereka dikatakan keluar bersama menaiki bot bersaiz 30 kaki panjang dan lapan kaki lebar menuju ke Permatang Sedepa, kira-kira 23.5 batu nautika (43 kilometer) dari Jeti Sementa pada jam 8 pagi.

Bagaimanapun, selepas dilaporkan hilang, empat daripada mereka iaitu Mohd Shairazi, Muhd Hamiszar, Mohd Rizal dan Zulfilkalnain dijumpai selamat dalam keadaan lemah oleh nelayan pukat tunda pada Selasa lalu di perairan Sekinchan, Sabak Bernam.

Mohd Rizal kini dipindahkan ke sebuah hospital swasta di sini dan dilaporkan stabil, manakala seorang lagi mangsa terselamat, Muhd Hamiszar yang juga merupakan anak saudara kepada Khairul kini dirawat di Hospital Banting.

Pada pagi Rabu, media melaporkan jenazah Allahyarham Mohd Shahril dijumpai dalam keadaan terapung dan diikat dengan tong serta jaket keselamatan, kira-kira 11 batu nautika dari Bagan Sungai Belukang, Bagan Datuk.

Sementara itu, Khairul berkata, keluarganya masih menaruh harapan agar Muhammad Ridzuan ditemukan dalam keadaan selamat.

Menurutnya, Muhammad Ridzuan yang juga kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih bujang dan anak keempat daripada lima beradik yang gemar memancing serta kerap turun ke laut.

“Dia seorang yang agak pendiam tetapi sangat bertanggungjawab. Kali terakhir saya jumpa dia pada 4 September lalu di rumahnya di Jalan Kebun di sini.

“Saya masih mengharap dia selamat kerana dia lasak dan memakai jaket keselamatan. Mungkin dia sempat mencapai tong atau sesuatu yang boleh membantunya terus terapung," katanya.