Hormati mandat rakyat, jangan jadikan UMNO 'punching bag' - Pemerhati politik

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 14 September lalu berhubung cabaran Guang Eng terhadap Ahmad Zahid supaya menyingkirkan UMNO daripada pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang.

GEORGE TOWN - Desakan supaya UMNO disingkirkan daripada pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang tidak seharusnya dijadikan polemik berterusan sehingga menjejaskan semangat Kerajaan Perpaduan dan kestabilan politik.

Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, semua pihak perlu menghormati mandat rakyat menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang 2023 selain memastikan kerjasama politik yang terbentuk selepas pilihan raya dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pada PRN tersebut, UMNO-BN bertanding di enam kerusi sebagai rakan Pakatan Harapan (PH) atas semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“UMNO juga tidak seharusnya dijadikan ‘punching bag’ bagi menyelesaikan atau menutup sebarang perbezaan pandangan dan dinamika dalaman parti,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas desakan terbaharu Penasihat DAP, Lim Guan Eng supaya UMNO disingkirkan daripada pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang.

Menurut Guan Eng, UMNO tidak lagi mempunyai nilai untuk terus berada dalam kerajaan negeri selain boleh memberi kesan terhadap persepsi rakyat terhadap kepimpinan PH Pulau Pinang susulan dakwaan parti itu semakin aktif bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Pas dalam pentadbiran negeri.

Iklan

Mengulas lanjut, Azizi berkata, kerjasama politik yang terbentuk di peringkat negeri perlu dilihat dalam kerangka mandat rakyat dan kestabilan pentadbiran, bukannya dijadikan bahan polemik politik secara berterusan.

Katanya, pendirian itu lebih relevan apabila kepimpinan PH Pulau Pinang sebelum ini telah membuat keputusan untuk meneruskan kerjasama dengan BN dan UMNO dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Dalam konteks ini, persoalan yang wajar ditanya ialah mengapa UMNO terus dijadikan sasaran sedangkan kepimpinan Kerajaan Pulau Pinang sendiri telah menunjukkan kesediaan untuk meneruskan kerjasama dalam pentadbiran negeri," katanya.

Azizi menambah, pendirian berhati-hati juga perlu diambil dalam melihat perkembangan di peringkat Persekutuan susulan cabaran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya BN disingkirkan daripada Kerajaan Perpaduan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri tidak tergesa-gesa menyahut cabaran tersebut.

"Sikap berhati-hati dan mementingkan kestabilan yang ditunjukkan kepimpinan kerajaan Persekutuan sepatutnya menjadi rujukan kepada semua pimpinan dalam gabungan,” katanya.

Beliau berkata lagi, polemik terbuka mengenai kedudukan parti dalam kerajaan juga berpotensi menimbulkan persepsi bahawa mandat rakyat tidak dihormati.

“Kerjasama politik yang terbentuk selepas pilihan raya perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan mengambil kira kestabilan pentadbiran.

“Jika terdapat perbezaan pandangan, perkara itu wajar dibincangkan melalui saluran dalaman dan mekanisme yang telah dipersetujui bersama, bukannya dipanjangkan menerusi kenyataan terbuka yang hanya mengeruhkan keadaan,” katanya.

Dalam pada itu, Azizi turut mengingatkan semua pemimpin khususnya mereka yang berpengalaman dan veteran politik supaya memainkan peranan dalam memastikan perbezaan pendapat tidak mengatasi kepentingan kestabilan kerajaan serta kesejahteraan rakyat.

“Semua pihak perlu meletakkan kepentingan rakyat dan kestabilan pentadbiran sebagai keutamaan, bukannya membiarkan perbezaan politik terus menjadi polemik terbuka,” katanya.

Pada 8 Ogos lalu, Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa PH negeri bersetuju mengekalkan Exco BN dalam pentadbiran kerajaan negeri sehingga PRU akan datang, selaras dengan persefahaman kerjasama yang terjalin pada PRN 2023.