PETALING JAYA - Identiti pengguna dalam ekosistem digital perlu dapat dikesan dengan berkesan, termasuk melalui pengesahan identiti elektronik (eKYC), bagi membantu membendung scam dan penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI).
Pengerusi Pertubuhan Pengguna Ekonomi Digital Malaysia (myDigitalConsumer), Jafri Abdullah berkata, pengesanan identiti penting bagi membolehkan pihak berkuasa menjejaki individu di sebalik sesuatu akaun, nombor atau aktiviti digital.
Menurutnya, menangani AI semata-mata hanya menyelesaikan simptom, sedangkan punca yang perlu diberi perhatian ialah identiti individu yang menggunakan teknologi berkenaan.
"Kalau kita trace identiti, bolehlah tangkap. Kalau identiti orang itu tidak dapat dikesan, sesiapa saja boleh melakukannya dan kita mengejar sesuatu yang tidak dapat dikesan siapa pelakunya," katanya pada sidang media myDigitalConsumer di Pejabat Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), di sini pada Khamis.
Jafri berkata, perkara sama berlaku apabila pengguna menerima pautan yang menyebabkan perisian hasad (malware) dimuat turun ke peranti sebelum digunakan untuk mendapatkan wang.
Menurutnya, identiti pihak yang menghantar pautan berkenaan perlu dapat dikesan supaya tindakan boleh diambil terhadap pelaku.
Dalam perkembangan berkaitan, Jafri berkata, usaha menangani scam juga memerlukan penyelarasan lebih berkesan antara Bank Negara Malaysia, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Beliau berkata, pihaknya pernah cuba mendapatkan pertemuan dengan ketiga-tiga agensi berkenaan bagi membincangkan isu scam, namun mendakwa sukar untuk mendapatkan mereka bersama dalam satu pertemuan.
"Pihak terbabit perlu duduk bersama dan menangani punca masalah, bukan sekadar menangani simptom," tambahnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung myDigitalConsumer, Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, identiti pengguna adalah elemen penting dalam pencegahan salah laku digital.
"Identity is the deterrent. Pencegahan adalah identiti. Siapa-siapa yang menggunakan, identiti itu mesti betul, eKYC. Barulah pencegahan itu berlaku," katanya.
Beliau turut membangkitkan isu mekanisme aduan pada platform media sosial apabila pengguna melaporkan kandungan yang dipercayai sebagai penipuan.
Sebagai contoh, katanya, terdapat kandungan di Facebook yang menggunakan nama 'CEO Bursa Malaysia', untuk mempromosikan pelaburan yang didakwanya sebagai penipuan.
Menurutnya, selepas laporan dibuat melalui fungsi report, jawapan diterima menyatakan kandungan itu tidak melanggar piawaian sosial.
Muhammad Sha'ani berkata, aduan pengguna melalui platform media sosial sepatutnya turut disalurkan kepada MCMC bagi mewujudkan semak dan imbang serta memastikan pemilik platform bertanggungjawab.
"Semua platform, tidak kiralah dia berapa juta pengguna atau apa, kena tertakluk kepada peraturan MCMC dan aduan itu mesti pergi kepada MCMC," tegasnya.