AKSES perbankan perniagaan kepada usahawan mikro termasuk penjaja kini diperluas menerusi pelancaran Bank Simpanan Nasional (BSN) BizGrow dan BSN BizGrow+, sekali gus memperkukuh sokongan terhadap pendigitalan serta pengurusan kewangan perniagaan.
Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar menawarkan pembiayaan, malah menyediakan ekosistem perbankan yang lebih menyeluruh bagi membantu usahawan mengurus operasi harian dan berkembang ke fasa seterusnya.
Menurutnya, sehingga Julai 2026, BSN telah menyalurkan pembiayaan mikro berjumlah RM5.3 bilion kepada lebih 180,000 usahawan mikro di seluruh negara.
"Usahawan mikro merupakan komponen penting dalam ekonomi Malaysia dan BSN telah menyokong pembangunan mereka sejak berdekad lalu.
"Dengan urusan perbankan yang lebih mudah dan lancar, mereka dapat memberi tumpuan kepada usaha mengembangkan perniagaan. Kami mahu BSN menjadi rakan perbankan yang berkembang bersama mereka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, BSN BizGrow direka khusus untuk pemilik tunggal dan penjaja dengan menawarkan kemudahan akaun perniagaan, Term Deposit-i, pembayaran tanpa tunai melalui DuitNow QR, penyelesaian Terminal POS serta perbankan internet BSNeBiz.
Selain itu, usahawan yang layak turut boleh mendapatkan Kad Debit Perniagaan BSN Visa bagi memudahkan pembayaran perniagaan dan pengeluaran tunai di dalam serta luar negara, dengan semua transaksi dipantau menerusi platform BSNeBiz.
Sementara itu, BSN BizGrow+ pula menyasarkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta organisasi bukan individu dengan menawarkan kemudahan tambahan termasuk skim penggajian selain akses kepada penyelesaian pembayaran dan perbankan digital.
Mujibburrahman berkata, kedua-dua penyelesaian tersebut mencerminkan komitmen BSN sebagai institusi kewangan pembangunan dalam memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan yang relevan dan membantu lebih banyak perniagaan menyertai ekonomi digital dengan lebih yakin.
"Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan, BSN kekal komited untuk memperluas akses kepada penyelesaian kewangan yang relevan dan menyokong lebih banyak perniagaan untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital dengan yakin," katanya.